JENAYAH & MAHKAMAH

Polis kesan suspek pergaduhan di restoran Bandar Rimbayu

SHAH ALAM – Polis sedang mengesan individu yang terlibat dalam insiden pergaduhan di sebuah restoran di Bandar Rimbayu, Telok Panglima Garang yang dipercayai berpunca daripada perselisihan faham selepas ditegur merokok, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Mohd Akmalrizal Radzi berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima kira-kira jam 2 pagi, Rabu.

“Hasil siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham antara dua pihak selepas salah seorang ditegur kerana merokok di kawasan tersebut.

“Kejadian kemudian bertukar menjadi pergaduhan dan kedua-dua pihak saling memukul antara satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tambahnya, usaha mengesan suspek yang terlibat sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 47 saat di media sosial yang memaparkan pergaduhan antara dua lelaki di restoran berkenaan, sebelum cuba dileraikan oleh orang awam di lokasi kejadian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button