Suspek kes tembak ekori Komander AKPS hampir sebulan
SUNGAI PETANI – Suspek yang terlibat dalam kes tembak Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam dipercayai mengekori pegawai kanan itu selama kira-kira sebulan sebelum merancang serangan tersebut.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, maklumat diperoleh hasil maklumat dan risikan pihaknya.
“Hasil siasatan awal polis mendapati suspek dipercayai mengekori mangsa lebih kurang sebulan sebelum kejadian tembakan, termasuk ketika mangsa bergerak ke pejabat pada waktu awal pagi dan ke masjid.
“Suspek kini ditahan reman dan sedang dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini hari ini.
Tambahnya, suspek bersama dua lagi rakannya berusia antara 44 hingga 58 tahun ditahan Sabtu lalu, selepas mereka dikenal pasti hasil risikan dan maklumat daripada saksi serta pengesanan identiti melalui gambaran yang dicam pihak polis.
Semalam, media melaporkan polis sudah menahan 10 individu bagi membantu siasatan berhubung kes tembak kenderaan dipandu Komander AKPS Bukit Kayu Hitam.
Adzli dilaporkan berkata, semua suspek termasuk wanita warga Thailand dipercayai mempunyai kaitan dengan ‘Geng Pak Su’ ditahan pada 25 hingga 28 Februari lalu, di beberapa lokasi sekitar daerah Kubang Pasu.
Adzli berkata, setakat ini semua suspek mengaku terbabit dalam aktiviti penyeludupan di sempadan, namun ada yang menafikan terbabit dengan insiden tembakan ke arah Proton X70 dipandu Mohd Nasaruddin.
“Mereka turut mengakui aktif dalam kegiatan menyeludup beras, karkas babi dan diesel di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.
“Daripada 10 suspek yang ditahan, seorang dibebaskan dengan jaminan selepas polis berpuas hati tiada kaitan langsung dengan insiden tembakan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












