Polis tahan dua lelaki bantu siasatan kes tembak di Rasah
SEREMBAN – Polis berjaya menahan dua individu disyaki terlibat dalam kejadian tembakan di Jalan Rasah dekat Plaza Tol Mambau 10 Disember lalu, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, kedua-dua suspek berusia 30-an itu ditahan di Bagan Serai, Pulau Pinang.
“Susulan kes ini, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Seremban mengesan beberapa lagi suspek sebelum berjaya menahan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak baru-baru ini.
“Mereka ditahan di Bagan Serai, awal pagi semalam. Pihak kami masih menjalankan siasatan berhubung pembabitan suspek terbaru ini dalam kes berkenaan,” katanya, hari ini.
Tambahnya, kedua-dua suspek direman lima hari bermula semalam sehingga 19 Disember depan bagi melengkapkan siasatan.
“Bagi tiga suspek pertama yang ditahan sebelum ini, reman mereka sudah tamat semalam, namun pihak kami memohon untuk menyambung tempoh reman.
“Majistret membenarkan reman disambung sehingga 19 Disember. Setakat ini kami menahan lima lelaki dan merampas satu senjata api jenis semi auto,” katanya.
Kertas siasatan dijangka dirujuk ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan pada 18 Disember dan seterusnya dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri.
Mengulas mengenai keadaan mangsa yang cedera dalam kejadian itu, Azahar berkata, lelaki berkenaan dalam keadaan stabil.
Laporan media sebelum ini menyebut, seorang daripada mangsa tembakan di Jalan Rasah meninggal dunia ketika mendapat rawatan di hospital kira-kira 12.50 tengah hari.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, kedua-dua lelaki warga tempatan itu parah selepas dikatakan ditembak di dalam Perodua Myvi yang dinaiki mereka, sebelum dikejarkan ke hospital oleh orang awam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






