BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

PIKM, Planworth lonjak akses pembiayaan 1,143 syarikat keselamatan

BANGI – Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Planworth Global Factoring Sdn. Bhd. (Planworth), sekali gus membuka akses pembiayaan mesra kredit kepada 1,143 syarikat kawalan keselamatan di seluruh negara.

Kerjasama strategik itu membolehkan syarikat kawalan keselamatan berdaftar di bawah PIKM menikmati kemudahan pembiayaan lebih pantas, fleksibel dan tersusun tanpa cagaran, sejajar dengan usaha memperkukuh modal kerja bagi menampung kos operasi yang kian meningkat.

Presiden PIKM, Datuk Mohammad Ubaidillah Enam @ Iman berkata, pemilihan Planworth sebagai rakan strategik utama dibuat selepas melalui proses penilaian teliti oleh jawatankuasa khas.

“Melalui inisiatif ini, syarikat keselamatan akhirnya mempunyai saluran pembiayaan alternatif yang cepat, telus dan diyakini.

“Ia bukan sekadar pembiayaan, tetapi sokongan menyeluruh bagi memastikan kelangsungan dan pertumbuhan industri keselamatan negara,” katanya selepas MoU antara PIKM dengan Planworth di sini baru-baru ini.

Planworth sebelum ini menerima pelbagai pengiktirafan termasuk SME Corp Enterprise 50 Award 2024 dan kini diiktiraf sebagai peneraju utama pembiayaan kewangan alternatif serta rantaian bekalan terbesar di Malaysia.

Sehingga kini, syarikat itu telah menyalurkan hampir RM3 bilion melalui lebih 40,000 transaksi pembiayaan, melibatkan kontrak bekalan, perkhidmatan dan kerja bernilai lebih RM4 bilion merentasi pelbagai sektor industri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Planworth, Datuk Kuek Andy berkata, pihaknya memperuntukkan dana sebanyak RM800 juta pada tahun ini bagi membantu syarikat keselamatan bergerak lebih pantas serta berdaya saing.

“Kami percaya sektor keselamatan memainkan peranan penting dalam infrastruktur ekonomi dan sosial negara.
“Dengan pengalaman luas sebagai institusi kewangan bukan bank, Planworth komited memperkukuh industri ini melalui modal sendiri dan sokongan kemudahan perbankan,” ujarnya.

Selain itu, Andy berkata, PIKM dan Planworth turut merancang siri program literasi kewangan serta taklimat pembiayaan bagi meningkatkan keupayaan ahli dalam menguruskan kewangan korporat secara lebih efisien.

Katanya, kerjasama tersebut diyakini dapat memperkasa daya saing syarikat keselamatan tempatan sekali gus memperkukuh peranan industri itu sebagai penyumbang penting terhadap keselamatan dan kestabilan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button