BERITA SEMASA

PDRM tidak campuri urusan agama, adat resam Negeri Sembilan

SEREMBAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mencampuri urusan agama dan adat resam di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad menegaskan, kontinjen amat menghormati Adat Perpatih dan undang-undang berkenaan yang menjadi teras kedaulatan pemerintahan, pentadbiran dan perpaduan negeri ini.

“Sehubungan itu, PDRM tidak akan mencampuri sebarang urusan berkaitan agama dan adat resam serta peruntukan yang termaktub di bawah undang-undang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, adalah menjadi keutamaan PDRM untuk memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan keamanan di negeri berkenaan sentiasa terpelihara, termasuk melindungi nyawa, keselamatan dan harta benda awam.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya bertenang, tidak membabitkan diri dalam mana-mana pihak yang terbabit, tidak membuat sebarang spekulasi, serta memberi ruang kepada proses yang sedang berjalan tanpa sebarang gangguan.

“PDRM turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan, ulasan atau perkongsian, sama ada secara fizikal mahupun di platform digital.

“Selain tidak menyebarkan sebarang bentuk kandungan yang boleh menimbulkan kekeliruan, keresahan awam atau menyentuh sensitiviti berkaitan 3R (agama, raja dan kaum),” katanya lagi.

Beliau kemudiannya menegaskan, mana-mana perbuatan berbentuk ugutan, provokasi, hasutan, fitnah, penyebaran maklumat palsu atau apa-apa unsur yang menyalahi undang-undang sekiranya dikesan, akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Kerjasama semua pihak dalam mengekalkan ketenteraman, menghormati proses yang sedang berlangsung dan memelihara keharmonian negeri ini amat dihargai,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button