
PETRA komited wujudkan 10,000 stesen pengecas EV menjelang akhir tahun
KUCHING – Kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bertekad merealisasikan sasaran 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, usaha tersebut melibatkan pembangunan stesen pengecas di kawasan bandar dan luar bandar bagi memudahkan rakyat menggunakan kenderaan mesra alam.
“Inisiatif itu bertujuan menggalakkan penggunaan kenderaan EV sebagai langkah menangani perubahan iklim. Walaupun urusan EV di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), PETRA bertanggungjawab meningkatkan jumlah stesen pengecas.
“Kita perlu memastikan wujudnya infrastruktur pengecas kerana kebanyakan kenderaan EV memerlukan pengecasan semula setiap 300 hingga 400 kilometer perjalanan. Oleh itu, ini menjadi agenda bersama MITI dan PETRA,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Warga Emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) sempena Tahun Baharu Cina 2025 di Dewan SUPP Matang, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata, tuntutan penambahan 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak masih dalam proses penilaian oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurutnya, mesyuarat di peringkat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah diadakan bagi menyuarakan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak terhadap hak tersebut.
“Setakat ini, perkara itumasih di peringkat penilaian. Perbincangan antara peguam atau penasihat undang-undang negeri Sarawak, Sabah dan Persekutuan juga belum berlangsung.
“Kami di Jawatankuasa Teknikal MA63 masih menunggu laporan terkini daripada SPR untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















