13 projek solar skala besar diluluskan, termasuk loji jana kuasa terapung terbesar – PETRA
PUTRAJAYA – Sebanyak 13 projek solar berskala besar dengan kapasiti keseluruhan 1,975MWac diluluskan di bawah Program Peralihan Tenaga SuRiA Pusingan Kelima Tambahan (LSS PETRA 5+).
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini berkata, kelulusan projek berkenaan merupakan yang terbesar sejak program itu diperkenalkan.
“Pelaksanaan projek berkenaan dijangka menjana pelaburan bernilai RM6 bilion selain mewujudkan kira-kira 12,000 peluang pekerjaan dalam industri tenaga boleh baharu (TBB).
“Projek yang berjaya dalam bidaan itu turut merangkumi antara loji jana kuasa solar terapung terbesar di negara ini dengan kapasiti 200MWac, yang dijangka beroperasi pada 2027 dan 2028,” katanya.
Menurut PETRA, Suruhanjaya Tenaga pada 20 Januari lalu telah membuka permohonan kuota solar sebanyak 2,000MWac melalui proses bidaan terbuka di bawah LSS PETRA 5+ yang menawarkan dua pakej iaitu pembangunan loji jana kuasa solar darat serta loji jana kuasa solar di badan air.
“Proses bidaan itu mendapat sambutan menggalakkan apabila sebanyak 37 permohonan diterima dengan jumlah kapasiti 4,073MW, iaitu dua kali ganda melebihi kuota ditawarkan.
“Daripada jumlah itu, 13 pembida yang mematuhi sepenuhnya syarat Request For Proposal (RFP) telah dipilih selepas penilaian menyeluruh dilakukan,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, sejak Program LSS diperkenalkan pada 2016, kuota berjumlah 4,263MWac telah diluluskan.
“PETRA yakin pelaksanaan inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada aspirasi peralihan tenaga negara bagi meningkatkan campuran kapasiti TBB kepada 70 peratus menjelang 2050.
“Inisiatif ini sekali gus menyokong usaha mengurangkan jejak karbon sektor bekalan elektrik selaras dengan prinsip Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








