
NRES lancar Garis Panduan Peralihan Kenderaan Kerajaan kepada EV
PUTRAJAYA – Kerajaan mengambil langkah proaktif dalam agenda kelestarian alam dengan melancarkan Garis Panduan Peralihan Kenderaan Kerajaan kepada Kenderaan Elektrik (EV), hari ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, dokumen itu dirangka bagi memastikan peralihan kenderaan rasmi kerajaan kepada EV dilakukan secara teratur dan berkesan.
“Garis panduan itu merangkumi aspek perancangan, pelaksanaan, penyelenggaraan dan penilaian peralihan kenderaan kerajaan kepada EV.
“Ia juga sebahagian daripada strategi yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) 2021-2030,” katanya di sini hari ini.
Beliau menyerahkan garis panduan itu kepada wakil Kementerian Kewangan di Bangunan NRES, Kompleks F, Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata, pelancaran garis panduan itu selari dengan matlamat kerajaan untuk mencapai aspirasi karbon sifar bersih menjelang 2050.
Dalam majlis yang sama, NRES turut merasmikan Stesen Pengecas Pantas EV (DCFC) pertama di Kompleks Kerajaan Putrajaya.
Projek itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Green Technology Application for the Development of Low Carbon Cities (GTALCC) yang diselaraskan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.
Nik Nazmi berkata, pemasangan stesen pengecas itu bukan sahaja bertujuan menyokong peralihan kepada EV tetapi juga menjadi contoh kerjasama strategik antara kerajaan dan pelbagai pihak berkepentingan.
Beliau turut berkata, sektor pengangkutan menyumbang 25.05 peratus daripada jumlah pelepasan karbon sektor tenaga di Malaysia berdasarkan Laporan Kemas Kini Dua Tahunan (BUR) 4.
“Peralihan kepada EV itu menunjukkan kepimpinan melalui teladan untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan pelepasan karbon.
“Pada masa sama, ia dapat menjimatkan kos operasi kerajaan dalam jangka panjang,” katanya lagi.
Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri wakil pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
Nik Nazmi menyeru pihak industri untuk memainkan peranan aktif dalam menyediakan teknologi pengecasan dan pengeluaran kenderaan elektrik.
“Kerjasama antara sektor awam dan swasta adalah kunci utama untuk memastikan peralihan kepada teknologi hijau ini berjalan lancar,” ujarnya.
Inisiatif itu juga mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan yang lebih lestari demi memastikan generasi masa depan dapat menikmati persekitaran yang lebih bersih dan sihat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








