BERITA SEMASA

PERHEBAT bantu 1,409 bakal pesara, veteran ATM bina kerjaya kedua

KOTA KINABALU – Seramai 781 bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya memperoleh pekerjaan dalam sektor strategik dengan purata gaji antara RM2,970 hingga RM5,000 menerusi inisiatif Kerjaya Kedua Perwira yang dilaksanakan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).

Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Ahmad Shafirudin Abu Bakar berkata, pencapaian itu adalah sebahagian daripada usaha PERHEBAT memperkukuh kebolehpasaran bekas anggota tentera dengan menghubungkan mereka secara langsung kepada keperluan industri.

Beliau berkata, sehingga September 2026, seramai 1,409 bakal pesara dan veteran ATM mendapat manfaat daripada program berkenaan, termasuk 628 individu yang sedang mengikuti latihan industri.

Katanya, sektor aeroangkasa, automotif, logistik dan perkhidmatan antara bidang yang menawarkan peluang pekerjaan kepada kumpulan berkenaan.

“Saya percaya angka ini akan terus meningkat dengan memperkukuh kebolehpasaran, memperluas penempatan pekerjaan dalam sektor strategik bernilai tinggi serta memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kita mahu melihat PERHEBAT sebagai sebuah institusi peralihan yang terus bergerak progresif dengan menghubungkan bakal pesara dan veteran kepada keperluan sebenar industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen PERHEBAT Ke-71 Peringkat Negeri Sabah di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, di sini, semalam.

Menurut Ahmad Shafirudin, pengiktirafan kemahiran dan pengalaman anggota sepanjang berkhidmat dalam ATM turut menjadi aspek penting bagi memastikan mereka mampu bersaing dalam pasaran pekerjaan selepas bersara.

Dalam pada itu, beliau menggesa bakal pesara yang bersara sekitar usia 40-an supaya tidak menangguhkan usaha mendapatkan pekerjaan dan merebut peluang kerjaya kedua yang ditawarkan.

Beliau turut menyeru mereka memainkan peranan sebagai duta pertahanan nasional dengan meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara bukan hanya terletak pada anggota tentera.

Pada majlis berkenaan, seramai 127 anggota menerima Sijil Latihan Peralihan, manakala 66 anggota dan veteran ATM dianugerahkan Diploma Kemahiran Malaysia menerusi program RPEL.

Hadir sama, Pengarah PERHEBAT Negeri Sabah, Samsul Mohamed Said; Komander Pangkalan Kota Kinabalu, Kapten Ahmad Sani Zakaria; Penolong Kanan Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Wilayah Sabah dan Labuan, Othman Somsak Abdullah serta Ketua Sektor Pengurusan Latihan PERHEBAT, Mansor Ibrahim.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button