JENAYAH & MAHKAMAH

Perebutan harta RM1.6 bilion: Wasiat anak pengasas Genting dipertikai

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes perebutan harta pusaka bernilai lebih RM1.6 bilion membabitkan keluarga pengasas Genting bermula di Mahkamah Tinggi di sini semalam dalam suasana tegang apabila isu kesahihan wasiat menjadi pertikaian utama.

Kes berkenaan melibatkan waris kepada mendiang Tan Sri Lim Goh Tong, pengasas Genting Group, susulan cabaran terhadap wasiat terakhir anak bongsunya, Lim Siew Kim, yang meninggal dunia pada Julai 2022 akibat kanser pada usia 73 tahun.

Peguam yang menyediakan wasiat tersebut, Datuk Low Beng Choo, ketika memberi keterangan mengesahkan bahawa Siew Kim menandatangani dokumen berkenaan pada 28 April 2022 ketika menerima rawatan di sebuah hospital swasta di ibu negara.

Menurutnya, si mati berada dalam keadaan sedar dan memahami tindakannya ketika menurunkan tandatangan pada setiap halaman wasiat itu.

“Beliau duduk di atas katil dan menandatangani dokumen berkenaan. Tiada tiub perubatan terpasang pada tubuhnya ketika itu,” memetik NST online.

Bagaimanapun, peguam kanan, Datuk V. Sithambaram, membantah sebahagian keterangan yang dikemukakan dengan alasan ia bersifat hearsay dan tidak boleh disahkan kesahihannya kerana melibatkan kenyataan didakwa diucapkan oleh si mati.

Beliau memohon mahkamah menggugurkan bahagian tersebut daripada rekod prosiding.

Dalam pernyataan tuntutan, dua anak perempuan Siew Kim, Chan T’shiao Li dan Kimberley Chan T’shiao Min, mendakwa ibu mereka tidak mempunyai keupayaan mental dan undang-undang untuk membuat wasiat kerana menghidap kanser ovari tahap empat sebelum meninggal dunia.

Mereka turut mendakwa menemui dua lagi wasiat bertarikh 2 November 2021 dan 11 April 2022, selain wasiat bertarikh 28 April 2022 yang kini dipertikaikan.

Pelaksanaan beberapa wasiat dalam tempoh singkat itu, menurut mereka, menimbulkan keadaan mencurigakan.

Plaintif juga mempersoalkan peranan Dikim Foundation yang dinamakan sebagai penerima utama lebih 70 peratus baki harta pusaka, dengan mendakwa tujuan sebenar yayasan itu tidak jelas.

Mengikut butiran wasiat, anak lelaki si mati, Marcus Chan, diperuntukkan beberapa hartanah termasuk di Jalan Ampang, pegangan saham dalam Mantap Awana Sdn Bhd, kandungan peti simpanan keselamatan serta 30 peratus baki harta pusaka.

Sementara itu, T’shiao Li diperuntukkan RM900,000 dan Kimberley menerima RM100,000. Seorang lagi anak perempuan, T’shiao Yunn, menerima RM10 juta serta hartanah di Ampang Hilir, manakala anaknya, Jasmine, diperuntukkan bayaran bulanan RM50,000.

Plaintif mendakwa berlaku unsur penipuan dalam pelaksanaan wasiat tersebut dan memohon mahkamah mengisytiharkannya sebagai tidak sah serta mengiktiraf mereka sebagai benefisiari yang sah.

Low dalam pernyataan pembelaannya menafikan semua dakwaan berkenaan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mahazan Mat Taib, menetapkan 2 Mac ini untuk keputusan berhubung bantahan dikemukakan pihak plaintif.

Kes itu terus mendapat perhatian berikutan nilai harta yang besar serta membabitkan keluarga korporat terkenal negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button