Pengguna kenderaan ke Genting Highlands mula dicaj Khamis ini
CYBERJAYA – Pengguna kenderaan akan dikenakan caj ketika memasuki Jalan Genting Highlands, bermula Khamis ini.
Lingkaran Cekap Sdn Bhd (LCSB) selaku operator sah rangkaian jalan Genting Highlands berkata, kutipan akan dibuat di laluan masuk Genting Highlands di Genting Sempah serta laluan masuk Gohtong Jaya di bulatan Gohtong Jaya, lapor BERNAMA.
“Bagi kereta atau van Kelas 1, akan dikenakan caj RM5 di kedua-dua lokasi berkenaan, manakala lori sederhana (Kelas 2) akan dicaj RM15 manakala lori berat (Kelas 3) dikenakan bayaran RM25 di kedua-dua laluan masuk.
“Teksi (Kelas 4) akan dicaj RM3.30, sementara bas (Kelas 5) pula perlu membayar RM5,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenderaan Kelas 2, 3, 4 dan 5 turut dikehendaki menggunakan ‘Lorong Khas’ atau lorong pengecaman plat lesen (LPR) ketika masuk ke laluan berkenaan.
Sementara itu, kenderaan kecemasan, motosikal serta kenderaan persendirian penjawat awam yang bertugas di institusi kerajaan terpilih di Genting Highlands dikecualikan daripada caj, menurut LCSB.
Bermula 28 Jun, LCSB akan mendaftarkan sehingga dua kenderaan Kelas 1 (kenderaan berdaftar) untuk penduduk tetap Genting Highlands yang layak, di mana mereka akan menikmati kadar istimewa 10 peratus lebih rendah berbanding kadar biasa bagi setiap kemasukan menerusi lorong LPR atau ‘Lorong Khas’.
“Kenderaan berdaftar tidak akan dikenakan sebarang caj sebelum 28 Jun 2026,” katanya.
Sebagai tambahan, LCSB akan memperkenalkan skim pas bermusim untuk tempoh enam bulan bagi penduduk tetap yang berdaftar.
Pas bermusim itu memberi pemegangnya keistimewaan kemasukan tanpa had ke Jalan Genting Highlands sepanjang tempoh sah lakunya melalui lorong LPR atau ‘Lorong Khas’, menawarkan penjimatan kos yang besar.
“Penduduk tetap yang berminat boleh mendapatkan pas bermusim dengan mengemukakan permohonan dan membuat pembayaran diperlukan,” tambahnya.
Sebelum ini dilaporkan, syarikat terbabit mengenakan caj itu bagi menampung kos penyelenggaraan jalan persendirian sejauh 24km tersebut yang kian meningkat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















