BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Genting Malaysia akan kenakan bayaran untuk kenderaan masuk Jalan Genting Highlands

KUALA LUMPUR – Genting Malaysia Bhd memaklumkan bayaran akan dikenakan kepada pengguna yang melalui Jalan Genting Highlands.

Dalam kenyataannya hari ini, syarikat itu mengesahkan pelaksanaan Caj Jalan Persendirian berkenaan, yang akan diumumkan selepas segala persiapan dimuktamadkan.

Menurut Genting Malaysia, bayaran itu perlu dilaksanakan memandangkan kos penyelenggaraan keseluruhan jalan sepanjang 24 kilometer, termasuk kawasan cerun curam, telah ditanggung sepenuhnya oleh syarikat itu sejak 1960-an.

“Penggunaan yang kerap di Jalan Genting Highlands telah menyebabkan banyak kerosakan dan memerlukan penyelenggaraan berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Genting Malaysia menjelaskan, pelaksanaan caj itu berasaskan prinsip ‘pengguna membayar’ bagi menampung kos penyelenggaraan, pembaikan dan pengurusan risiko lain yang tidak dijangka.

“Langkah ini penting bagi memastikan jalan raya kekal selamat untuk semua pengguna serta terus menyediakan akses kepada komuniti Genting Highlands, perniagaan dan berjuta pelancong dari seluruh negara,” jelas kenyataan itu.

Syarikat itu menegaskan, inisiatif berkenaan merupakan langkah swasta di jalan dan tanah persendirian yang dibina bagi memberi akses selamat ke Resorts World Genting serta destinasi pergunungan lain.

“Menjalankan kerja di kawasan pergunungan amat mencabar, berbahaya dan mahal, namun ia perlu bagi memastikan keselamatan jalan raya dan cerun dapat dikekalkan,” katanya.

Genting Malaysia turut memaklumkan pasukan khas sentiasa bersedia di pertengahan dan puncak bukit untuk menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk kecemasan dan kemalangan.

Selain menjamin keselamatan pengguna, jalan berkenaan juga dianggap penting dalam memacu industri pelancongan serta ekonomi setempat di Genting Highlands dan negeri Pahang secara keseluruhan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button