Pelajar USIM wakil Malaysia sertai Muktamar Bahasa Arab Antarabangsa 2025 di Indonesia
KUALA LUMPUR – Malaysia sekali lagi mengukuhkan peranan sebagai peneraju pendidikan Bahasa Arab di rantau ini apabila tiga pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terlibat dalam Muktamar ITHLA XII, Kemah Bahasa Arab Antarabangsa & Konferensi Bahasa Arab Antarabangsa 2025.
Acara selama tiga hari dari 24 hingga 26 November itu berlangsung di Universitas Islam Negeri (UIN) Maulana Malik Ibrahim di Malang, Indonesia.

Muktamar anjuran Ittihadu Thalabah Al-Lughah Al-‘Arabiyah bi Indonesia (ITHLA) itu menghimpunkan lebih 1,000 peserta dari seluruh Indonesia melalui penyertaan hibrid, merangkumi sesi dalam talian dan bersemuka.
Malaysia diwakili oleh Muhamad Hafizuddin Mohd Saufi yang bertindak sebagai wakil ITHLA ASEAN serta menyampaikan ucaptama semasa sesi perasmian pembukaan.
Menurut beliau, penyertaan Malaysia bukan sekadar simbolik tetapi komitmen berterusan dalam memperkukuh pendidikan Bahasa Arab pada peringkat global.
“Ini bukan hanya ruang untuk berkongsi pandangan tetapi juga platform strategik untuk membina sinergi serantau dalam inovasi pendidikan dan pemerkasaan Bahasa Arab,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Bertemakan ‘Sinergi Pemuda dalam Inovasi Teknologi dan Pendidikan Berkualiti’ muktamar tersebut memberi tumpuan kepada peranan generasi muda dalam memacu inovasi digital, memperluas kerjasama akademik dan menguatkan diplomasi pendidikan antara negara-negara ASEAN dan Asia Barat.

Delegasi Malaysia turut terlibat dalam pelbagai agenda utama termasuk Persidangan Bahasa Arab Antarabangsa dan Seminar Inovasi Teknologi & Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs).
Selain itu, mereka juga menyertai Pemilihan Ketua Umum Dewan Pimpinan Pusat ITHLA Indonesia, Kemah Bahasa Arab Antarabangsa dan Pertukaran budaya Malaysia–ASEAN.
“Penyertaan ini dianggap signifikan kerana ia membuka ruang yang lebih luas kepada mahasiswa Malaysia untuk membina jaringan akademik antarabangsa, memperkukuh kemahiran kepimpinan serta menyumbang kepada pembangunan masa depan pengajian Bahasa Arab.
“Selain itu, langkah ini juga dilihat sebagai permulaan baharu yang akan memberi inspirasi kepada lebih ramai penuntut Bahasa Arab di Malaysia untuk terus aktif dalam memartabatkan bahasa tersebut di peringkat global,” ujar Muhamad Hafizuddin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








