JENAYAH & MAHKAMAH

Pasangan suami isteri ditahan, guna dron seludup tembakau ke Penjara Sungai Udang

MELAKA – Cubaan sepasang suami isteri menyeludup tembakau ke dalam Penjara Sungai Udang di sini menggunakan dron gagal apabila mereka diberkas polis dalam serbuan di sebuah inap desa di Taman Kris Satria, Sungai Udang, kelmarin.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pasangan warga tempatan berusia 46 dan 27 tahun itu dipercayai menjadikan inap desa yang disewa berhampiran kompleks penjara sebagai lokasi operasi untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

Menurut beliau, polis menerima laporan daripada pihak pengurusan Penjara Sungai Udang berhubung kegiatan itu kira-kira pukul 3.10 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama Balai Polis Sungai Udang melancarkan serbuan pada pukul 4 petang.

“Hasil serbuan, polis menahan kedua-dua suspek dan merampas pelbagai barangan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu termasuk peralatan dron, bahan yang disyaki mahu diseludup, peranti komunikasi serta beberapa barangan lain bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek lelaki mengaku menerbangkan dron bagi meninjau lokasi pendaratan sebelum menyeludup masuk tembakau kepada seorang banduan.

“Siasatan juga mendapati kegiatan itu dipercayai dilakukan hasil pakatan dengan seorang banduan dan usaha mengesan individu terbabit sedang dijalankan dengan kerjasama pihak Penjara Sungai Udang,” katanya.

Dzulkhairi berkata, keputusan ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.

Katanya, semakan rekod jenayah mendapati suspek lelaki mempunyai 12 rekod jenayah lampau serta tiga rekod berkaitan kesalahan dadah, manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Suspek lelaki direman selama empat hari, manakala suspek wanita direman sehari bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 58 Akta Penjara 1995 (Akta 537),” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button