BERITA SEMASADALAM NEGERIJENAYAH & MAHKAMAH

Polis Marin gagalkan cubaan seludup 96,000 batang rokok di Sungai Golok

TUMPAT – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga berjaya menggagalkan cubaan menyeludup puluhan ribu batang rokok kretek melalui laluan Sungai Golok dekat sini, kelmarin.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Polis (ACP) Zulafendy Hassan berkata, pihaknya menahan suspek lelaki berusia 31 tahun kira-kira pukul 5.30 petang di tebing Sungai Mentua berhampiran Jambatan Pulau Ular, Pengkalan Kubor.

Beliau berkata, tangkapan dilakukan hasil rondaan berkala oleh sepasukan pegawai dan anggota PPM menggunakan bot ronda PS 8.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan pacuan empat roda yang digunakan suspek menemukan 10 guni mengandungi 96,000 batang rokok kretek yang disimpan di ruang kargo belakang kenderaan berkenaan.

“Kesemua rokok yang dirampas disyaki diseludup masuk tanpa cukai dan suspek memberi kerjasama penuh semasa pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, semua barangan rampasan telah disita manakala suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 berkaitan kesalahan menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau larangan import.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM321,760, sekali gus menjadikan kes itu sebagai kes keenam penyeludupan rokok yang berjaya dipatahkan oleh PPM Wilayah Tiga sepanjang tahun ini.

Mengulas statistik penguatkuasaan, Zulafendy
berkata, sepanjang tahun ini lebih 1.7 juta batang rokok seludup berjaya dirampas melibatkan nilai keseluruhan termasuk cukai dianggarkan RM4.1 juta.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button