BERITA SEMASADALAM NEGERI

PDRM tawar diskaun 70 peratus saman trafik bermula 1 November

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan pengurangan bayaran saman trafik sehingga 70 peratus bermula 1 November hingga 30 Disember ini, melalui kempen khas Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kempen itu diadakan bagi memberi peluang kepada orang ramai menyelesaikan saman tertunggak sebelum kadar baharu kompaun dikuatkuasakan pada 1 Januari 2026.

Katanya, penyelarasan semula kadar serta kaedah kompaun saman trafik PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan dilaksanakan mengikut prinsip baharu “The Less You Delay, The Less You Pay”, yang menawarkan kadar lebih rendah sekiranya bayaran dibuat lebih awal.

“Mulai 1 Januari 2026, orang ramai boleh menikmati kadar kompaun lebih rendah jika pembayaran dibuat segera tanpa menunggu tempoh lama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, bayaran saman boleh dibuat melalui platform MyBayar PDRM bagi pengguna berdaftar dengan MyDigital ID, selain di kaunter trafik daerah dan pejabat pos Malaysia di seluruh negara.

Bagaimanapun, Mohd Yusri menjelaskan, tawaran pengurangan ini tidak terpakai bagi kesalahan tidak boleh dikompaun (non-compoundable, NC), manakala kadar potongan tertakluk kepada nilai kompaun semasa dengan kadar minimum RM30.

Kempen diskaun akhir tahun ini dijangka memberi kelegaan kepada jutaan pemilik kenderaan yang ingin melangsaikan saman sebelum pelaksanaan struktur kompaun baharu tahun depan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button