Operasi samseng jalanan: 692 saman, 6 ditahan di KL
KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur mengeluarkan sebanyak 692 saman dan menahan enam individu dalam Operasi Samseng Jalanan dan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Lalu Lintas yang dijalankan susulan aduan orang ramai terhadap aktiviti berbahaya di sekitar pusat bandar, awal pagi semalam.
Operasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) itu melibatkan seramai 174 kekuatan, termasuk 116 anggota JSPT KL terdiri daripada 10 pegawai kanan polis dan 106 anggota, dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Konsesi Lebuhraya DUKE, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Sentul dan Wangsa Maju.

Ketua JSPT KL, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, operasi berkenaan dilaksanakan susulan aduan orang awam berhubung kegiatan samseng jalanan yang mengganggu ketenteraman dan keselamatan penduduk, khususnya di Lebuhraya DUKE berhampiran Bangunan LSH.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan samseng jalanan.
“Operasi seperti ini akan diteruskan secara berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, fokus operasi adalah terhadap kesalahan tunggangan melulu dan berbahaya, pengubahsuaian kenderaan secara haram, tiada lesen memandu serta pelbagai kesalahan lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Hasil operasi turut menyaksikan 83 kenderaan disita dan 1,021 buah motosikal diperiksa,” katanya lagi.
Selain itu, satu kes positif dadah dikesan hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan dengan kerjasama AADK.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








