Nahas enam maut: Mahkamah tolak permohonan reman pemandu lori
SUNGAI PETANI – Mahkamah Majistret di sini hari ini menolak permohonan reman terhadap pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan tragis di Kampung Baru Pinang Tunggal yang mengorbankan enam sekeluarga semalam.
Keputusan itu dibuat Majistret Mohamad Azlan Basri terhadap lelaki berusia 49 tahun yang ditahan polis sejurus selepas nahas berkenaan berlaku.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah sebelum ini memaklumkan hasil saringan awal air kencing mendapati pemandu lori terbabit negatif dadah.
Menurutnya, semakan turut mendapati lelaki itu mempunyai tujuh saman trafik, termasuk empat saman yang masih belum dijelaskan.
“Namun begitu, dia mempunyai lesen memandu yang sah dan kelajuan lori semasa kejadian hanyalah 60 kilometer sejam,” katanya memetik laporan Sinar Online.
Adzli berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan yang meragut enam nyawa tersebut.
Beliau berkata, pemeriksaan menyeluruh turut dijalankan terhadap lori berkenaan, termasuk membabitkan pemeriksaan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
BACA JUGA:
SUV bertembung lori, enam maut termasuk bayi
Nahas enam maut: Proton X50 baru ‘keluar kedai’ pagi tadi
Keluarga mangsa X50 nafi pemandu terlelap, mohon hentikan spekulasi
Dalam kejadian petang semalam, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 yang membawa tujuh sekeluarga dilaporkan bertembung dengan lori membawa muatan tanah dari arah bertentangan ketika dalam perjalanan dari Pinang Tunggal menuju ke Bandar Sungai Petani.
Nahas tersebut mengorbankan enam individu di lokasi kejadian, manakala seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mengalami kecederaan parah.
Difahamkan, Proton X50 yang dinaiki mangsa merupakan kenderaan baharu yang baru diambil dari sebuah pusat jualan hanya beberapa jam sebelum kemalangan berlaku.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








