Murid perempuan cedera selepas kerusi ditarik rakan sekelas
KANGAR – Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden seorang murid perempuan berusia 12 tahun yang cedera selepas terjatuh apabila kerusinya dipercayai ditarik oleh rakan sekelasnya di sebuah sekolah kebangsaan di Padang Besar, Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12.15 tengah hari pada 11 Februari itu berlaku ketika mangsa ingin duduk semula selepas selesai memberi salam kepada guru.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kerusi yang ingin diduduki mangsa telah ditarik oleh seorang rakan sekelas menyebabkan murid tersebut hilang imbangan sebelum terjatuh ke lantai.
“Hasil siasatan mendapati kedua-dua murid yang terlibat merupakan rakan sekelas dan kejadian dipercayai berlaku tanpa unsur pergaduhan atau permusuhan yang serius.
“Bagaimanapun, polis menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi memastikan semua aspek berkaitan kejadian ini diteliti sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan polis yang dibuat oleh ibu mangsa pada pukul 2.30 pagi, 25 Februari lalu.
Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.
Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan laporan berhubung kejadian tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








