Mohon keadilan dan rahmat, penyokong adakan solat hajat untuk Najib
KUALA LUMPUR – Satu Majlis Solat Hajat Perdana telah dianjurkan pada malam semalam sebagai usaha kerohanian dan simbolik rakyat bagi memohon kepada Allah SWT agar Datuk Seri Najib Tun Razak dikurniakan keadilan serta rahmat serta daripada Allah SWT.
Menurut satu kenyataan, penganjuran majlis itu mencerminkan manifestasi doa, solidariti dan harapan rakyat, khususnya para penyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang terus istiqamah mendoakan kesejahteraan, kekuatan dan keadilan buat bekas Perdana Menteri itu.
“Majlis ini turut menampilkan empat orang penceramah jemputan yang menyampaikan ucapan serta tausiyah, antaranya menyentuh sumbangan dan peranan signifikan beliau dalam landskap politik negara, termasuk jasa beliau dalam memperkukuhkan UMNO dan BN ketika memimpin kerajaan,” katanya hari ini.
Dalam pada itu majlis itu turut menampilkan empat penceramah iaitu Mohd Shafiq Fhadly Mahmud, Yuktes Vijay, Zee How Tai dan Ustaz Mohd Shukri Samsudin selaku imam.
Sementara itu menurut Mohd Shafiq, bekas Presiden UMNO itu wajar diberikan ruang sewajarnya untuk berada bersama kepimpinan dan akar umbi UMNO serta BN, khususnya dalam menghadapi cabaran politik semasa termasuk Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor yang akan datang.
“Beliau merupakan aset strategik dan ramuan terbaik kepada kebangkitan semula UMNO dan BN.
“Pengalaman luas, kepimpinan berwibawa serta pengaruh beliau terbukti mampu menyatukan parti dan mengembalikan keyakinan pengundi,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Najib kekal sebagai antara figura utama UMNO dan BN yang mempunyai keupayaan besar untuk menarik sokongan akar umbi serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap hala tuju parti.
Pada masa sama beliau juga menzahirkan harapan agar semua proses perundangan yang masih berjalan dapat ditangani secara adil, telus dan berlandaskan Perlembagaan, termasuk mengambil kira prinsip keadilan sejagat, ihsan serta kebijaksanaan dalam membuat keputusan.
Selain itu, kesemua penceramah senada bahawa Najib masih menggunakan saluran perundangan yang sah bagi mendapatkan keadilan, termasuk mengemukakan representasi dan permohonan semakan mengikut peruntukan undang-undang yang dibenarkan.
Katanya, proses itu mencerminkan hak setiap warganegara untuk mendapatkan perbicaraan yang adil, saksama dan menyeluruh sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan serta prinsip kedaulatan undang-undang.
Mereka berpandangan, tuntutan keadilan terhadap Najib bukan bertujuan mencabar institusi kehakiman, sebaliknya menegaskan kepentingan prinsip fair trial, ihsan serta kebijaksanaan dalam pelaksanaan hukuman.
“Ia khususnya apabila wujud usaha berterusan melalui saluran undang-undang yang sah. Dalam konteks ini, ruang keadilan yang menyeluruh dan berimbang amat penting demi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








