BERITA SEMASAPOLITIK

Isham Jalil pertimbang saman Tengku Zafrul kerana suntingan video ‘kecam’ Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil, mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerana didakwa membuat suntingan video yang boleh menimbulkan fitnah terhadapnya.

Menurut Isham, dalam satu hantaran video di Facebook semalam, beliau mempersoalkan tindakan Tengku Zafrul yang memuat naik video menyelitkan visual Datuk Seri Najib Razak sedang bersenam bersama petikan video lamanya sehingga boleh menimbulkan salah faham seolah-olah beliau sedang menghentam bekas Perdana Menteri itu.

“Zafrul, aku baru tengok video kau. Kau masukkan video aku bercakap, lepas tu kau selit gambar Datuk Seri Najib tengah berjoging. Orang tengok boleh salah faham, boleh fikir aku marah kat Najib. Sedangkan video asal tu langsung tak ada kaitan,” katanya dalam hantaran itu.

Beliau juga menegaskan klip video berkenaan dibuat beberapa tahun lalu ketika beliau masih menjadi pegawai khas kepada Najib dan tidak ada sebarang unsur kecaman terhadap bekas Perdana Menteri tersebut.

Katanya lagi, suntingan video seperti itu boleh mengelirukan orang ramai dan secara tidak langsung berpotensi menimbulkan fitnah.

“Ini edit boleh kepada fitnah ni tau. Kau kena check dulu dengan pasukan kau sebelum post. Jangan main letak gambar dan video orang macam tu,” katanya.

Dalam pada itu, Isham turut mempersoalkan rasional di sebalik kenyataan Zafrul yang mendakwa dirinya bersenam di luar negara sebagai cara mengatasi jet lag dan mempromosikan gaya hidup sihat.

Menurutnya, jika benar tujuan utama adalah untuk menggalakkan kehidupan sihat, perkara itu sepatutnya dilakukan di dalam negara bukannya dijadikan bahan promosi sewaktu berada di luar negara.

“Kalau betul nak galakkan gaya hidup sihat, buatlah kat Malaysia. Tak payah pergi luar negara bawa kamera tunjuk jogging,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button