BERITA SEMASAPMX

Malaysia sedia terajui Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

PUTRAJAYA – Malaysia bersiap sedia mempamerkan keupayaan diplomasi terbaik apabila Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 membuka tirainya esok, sekaligus menjadikan Kuala Lumpur tumpuan utama rantau ini serta dunia.

Sidang kemuncak berprestij itu dijangka menghimpunkan barisan pemimpin ASEAN bersama rakan dialog utama antarabangsa termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun, Australia dan Republik Korea. Turut hadir sebagai tetamu Pengerusi ialah Brazil, Afrika Selatan, Kanada, Kesatuan Eropah dan beberapa organisasi antarabangsa lain.

asean logo
Logo Sidang Kemuncak ASEAN di mana Malaysia sebagai Pengerusi.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, sidang kali ini bukan sekadar menandakan penutup kepada setahun kepengerusian Malaysia, sebaliknya mencerminkan komitmen dan peranan aktif negara dalam membentuk masa depan ASEAN yang lebih inklusif, berdaya tahan serta berpaksikan rakyat.

“Ia bakal menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat diplomasi antarabangsa, memperkukuh keyakinan dunia terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta kredibiliti Malaysia sebagai negara berprinsip, progresif dan dihormati,” katanya pada taklimat media Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.

Menurut beliau, minggu diplomasi yang padat itu dijangka membuka lembaran baharu hubungan strategik antara negara anggota ASEAN dan rakan dialog global, selain menjadi medan penting bagi Malaysia memperkukuh dasar luar berteraskan nilai kemanusiaan, perdagangan yang adil serta kerjasama Selatan Global.

“Pendekatan ini sejajar dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan sejagat dan pembangunan mampan,” tambahnya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijangka menumpukan kepada agenda memperkukuh integrasi ekonomi serantau, keselamatan maritim, transformasi digital dan kebersamaan dalam menghadapi cabaran global.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button