AS dakwa serang hampir 2,000 sasaran di Iran, operasi ketenteraan berterusan 24 jam sehari
WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) mendakwa telah melancarkan serangan ke atas hampir 2,000 sasaran di Iran setakat ini, dalam apa yang disifatkan sebagai pengumpulan kekuatan tembakan terbesar di Asia Barat dalam tempoh satu generasi.
Komander Tentera AS di Asia Barat, Brad Cooper dari United States Central Command (CENTCOM) berkata, anggota pasukannya telah menggunakan lebih 2,000 jenis persenjataan dalam operasi berkenaan.
“Kami telah menyerang hampir 2,000 sasaran. Kami telah melemahkan secara serius sistem pertahanan udara Iran dan memusnahkan ratusan peluru berpandu balistik, pelancar serta dron milik Iran,” katanya dalam satu mesej video, memetik laporan The Times Of Israel.
Beliau turut memaklumkan bahawa 17 kapal Iran termasuk sebuah kapal selam, telah dimusnahkan dalam operasi tersebut.
“Hari ini, tiada satu pun kapal Iran yang sedang beroperasi di Teluk Arab, Selat Hormuz atau Teluk Oman,” katanya.
BACA JUGA:
Peluru berpandu Iran hentam Pangkalan Tentera AS di Al-Udeid, tiada korban dilaporkan
Selat Hormuz merupakan laluan perkapalan strategik dunia yang menjadi nadi kepada penghantaran minyak global, dan sebarang konflik di kawasan itu berisiko memberi kesan besar kepada ekonomi antarabangsa.
Menurut Cooper, tempoh 24 jam pertama operasi kali ini hampir dua kali ganda lebih besar berbanding hari pertama serangan ‘shock and awe’ AS ke atas Iraq pada 2003 dalam Perang Iraq.
Beliau menegaskan bahawa operasi ketenteraan masih diteruskan tanpa henti.
“Kami meneruskan serangan ke atas Iran 24 jam sehari, tujuh hari seminggu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Cooper mendedahkan bahawa Iran telah melancarkan lebih 500 peluru berpandu balistik dan lebih 2,000 dron sebagai serangan balas terhadap sasaran AS, Israel serta negara-negara Arab yang bersekutu dengan Washington di rantau berkenaan.
Konflik yang semakin memuncak itu menyaksikan pertukaran serangan secara besar-besaran antara kedua-dua pihak, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya perang serantau berskala penuh di Asia Barat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















