BERITA SEMASALUAR NEGARA

Didakwa maut dalam serangan Israel, Komander Iran muncul rai kemenangan di Tehran

TEHRAN – Komander Pasukan Quds Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran, Brigedier Jeneral Esmail Qaani, muncul dalam keadaan sihat pada satu perhimpunan awam di sini, sekali gus menafikan laporan meluas yang mendakwa beliau terbunuh dalam serangan udara Israel baru-baru ini.

Kemunculan beliau semalam dirakam menerusi beberapa video yang tular di media sosial, memaparkan Qaani berada dalam kalangan orang ramai pada satu demonstrasi menyokong kerajaan.

Beliau dilihat beramah mesra dengan para penyokong, dalam suasana yang disifatkan penuh semangat dan simbolik kepada kekuatan rejim.

Agensi Berita Tasnim menerusi platform X menyatakan, komander Qaani menghadiri perhimpunan rakyat Tehran hari ini sempena Operasi Kemenangan Ilahi.

Rakaman sama turut disiarkan oleh saluran berita rasmi, Press TV, yang melaporkan bahawa beliau disambut dengan penuh meriah oleh orang ramai yang berkumpul meraikan kemenangan Iran ke atas Israel.

Penampilan itu sekaligus menolak laporan terdahulu, termasuk yang diterbitkan oleh The New York Times, yang mendakwa Qaani terbunuh dalam serangan udara Israel pada 13 Jun lalu ketika konflik ketenteraan antara kedua-dua negara memuncak.

Bagaimanapun, laporan tersebut tidak menyatakan sumber khusus dan pihak tentera Israel juga tidak mengesahkan sasaran atau kematian Qaani.

Ini bukan kali pertama Qaani dilaporkan terbunuh secara tidak sahih.

Pada Oktober 2024 lalu, khabar angin turut tersebar bahawa beliau terkorban dalam serangan udara Israel di Beirut yang turut menyebabkan kematian pemimpin kanan Hezbollah, Hashem Safieddine.

Ketika itu, laporan menyatakan Qaani gagal dihubungi selepas insiden tersebut, sekali lagi mencetuskan spekulasi tentang nasibnya.

Qaani sebelum ini memainkan peranan penting dalam operasi ketenteraan Iran di Afghanistan dan Pakistan, terutamanya dalam menangani penyeludupan dadah serta memberi sokongan kepada Pakatan Utara (Northern Alliance) di Afghanistan.

Beliau dikatakan menjadi sasaran kritikan dalam kalangan pegawai kanan Iran susulan beberapa kebocoran keselamatan serta kelemahan dalaman dalam pentadbirannya.

Namun, kemunculan terbarunya menandakan bahawa beliau masih memegang tampuk kepimpinan dalam pasukan elit itu dan terus menjadi figura penting dalam strategi ketenteraan luar negara Iran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button