Trump dakwa rundingan AS-Iran kini dibuat menerusi telefon
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, rundingan antara Washington dan Iran kini diteruskan melalui perbualan telefon tanpa memerlukan pertemuan bersemuka yang memakan masa panjang.
Menurutnya, pendekatan itu lebih praktikal berbanding perlu melakukan perjalanan jauh setiap kali perbincangan penting diadakan antara kedua-dua pihak.
“Kami sedang berbincang dengan mereka sekarang, dan kami tidak lagi terbang selama 18 jam setiap kali mahu melihat sekeping kertas.
“Kami melakukannya melalui telefon,” katanya kepada pemberita di Rumah Putih semalam, memetik laporan agensi berita Anadolu.
Iran dan AS sebelum ini mengadakan rundingan di Islamabad, Pakistan pada 11 April, namun gagal mencapai persetujuan untuk menamatkan konflik yang bermula pada 28 Februari.
Perbincangan itu susulan gencatan senjata selama dua minggu yang diusahakan oleh Pakistan pada 8 April sebelum dilanjutkan oleh Trump.
Dalam perkembangan berkaitan, Trump turut membatalkan rancangan perjalanan utusan khasnya, Steve Witkoff dan Jared Kushner ke Islamabad pada hujung minggu lalu.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa sebarang bentuk perjanjian hanya akan dimeterai sekiranya Iran bersetuju untuk meninggalkan sepenuhnya hasrat menghasilkan senjata nuklear.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








