Trump berang CNN lapor ‘kemenangan’ Iran, tuntut mohon maaf
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menghentam CNN dengan menuduh rangkaian penyiaran itu menyiarkan laporan ‘palsu dan berbahaya’ berhubung dakwaan Iran mengisytiharkan kemenangan ketika rundingan gencatan senjata masih berlangsung.
Pertikaian tercetus susulan pengumuman Donald Trump mengenai gencatan senjata selama dua minggu dengan Iran, menjelang tarikh akhir yang ditetapkannya kepada Tehran untuk membuka semula Selat Hormuz.
Menerusi beberapa hantaran di platform Truth Social, beliau mendakwa CNN sengaja memperbesar kenyataan yang direka-reka dan kononnya datang daripada pegawai kanan Iran.
“Tiada siapa boleh percaya bahawa ‘Fake News CNN’ menyiarkan kenyataan yang diketahui palsu dan berbahaya, kononnya datang dari peringkat tertinggi Kerajaan Iran. Ia tidak benar,” katanya.
Menurut beliau, laporan tersebut berpunca daripada sumber berita tidak sah yang berpangkalan di Nigeria, sebelum didakwa diangkat sebagai tajuk utama oleh CNN dalam keadaan geopolitik yang semakin tegang.
“Ia direka sepenuhnya dan disiarkan sebagai tajuk utama, mungkin untuk memburukkan keadaan yang sangat sensitif,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Donald Trump menuntut agar laporan berkenaan ditarik balik serta-merta dan permohonan maaf dibuat, selain memaklumkan pihak berkuasa sedang meneliti kemungkinan wujud unsur jenayah dalam penyebaran laporan tersebut.

Kontroversi berkenaan berpunca daripada laporan CNN yang memetik kenyataan dikaitkan dengan Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran yang mendakwa Tehran mencapai hasil muktamad.
Menurut laporan itu, kenyataan berkenaan menyebut pihak Amerika Syarikat mengalami kekalahan bersejarah dalam apa yang disifatkan sebagai perang tidak sah terhadap negara tersebut.
Situasi menjadi semakin tegang apabila satu akaun yang dikaitkan dengan Rumah Putih berkongsi tangkap layar tajuk CNN yang mendakwa Iran mengisytiharkan kemenangan serta memaksa Amerika Syarikat menerima pelan 10 perkara.
Dalam pada itu, CNN menolak dakwaan Donald Trump dan menegaskan laporan mereka adalah berdasarkan sumber sah serta telah disahkan.
Jurucakap rangkaian itu memaklumkan kenyataan berkenaan diperoleh terus daripada pegawai Iran dan turut disiarkan oleh beberapa media milik negara tersebut.
Koresponden antarabangsa kanan, Matthew Chance, turut mempertahankan laporan itu ketika muncul bersama Anderson Cooper dengan menyatakan dokumen berkenaan telah disahkan secara bebas.
“Apabila Presiden Trump menulis di Truth Social bahawa beliau membantah laporan itu dan menyifatkannya sebagai palsu, saya telah menghubungi Kementerian Luar Iran,” katanya.
Beliau berkata, pegawai berkenaan kemudian menyerahkan semula dokumen sama apabila diminta.
“Jadi kami sangat yakin, amat yakin bahawa dokumen ini adalah sah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















