LUAR NEGARA

Sebulan perang Iran: Negara Arab tanggung kerugian hingga RM912 bilion – UNDP

GENEVA – Konflik membabitkan Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran sejak sebulan lalu menyebabkan kerugian besar kepada negara-negara Arab dengan anggaran mencecah antara AS$120 bilion hingga AS$194 bilion (kira-kira RM564 bilion hingga RM912 bilion).

Perkara itu didedahkan menerusi laporan terbaharu United Nations Development Programme (UNDP) yang diterbitkan semalam.

Menurut laporan berkenaan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rantau tersebut dijangka menguncup antara 3.7 hingga 6 peratus susulan konflik berintensiti tinggi itu.

Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Abdallah Al Dardari berkata, peperangan itu berpotensi mengakibatkan kehilangan kira-kira 3.7 juta peluang pekerjaan selain hampir empat juta individu lagi berisiko terjerumus ke dalam kemiskinan.

“Situasi ini jelas memperlihatkan tahap kerapuhan ekonomi negara-negara Arab apabila berdepan konflik berskala besar,” katanya.

Laporan tersebut dibuat berdasarkan unjuran konflik bersifat singkat tetapi intensif selama empat minggu, namun UNDP memberi amaran bahawa impaknya boleh menjadi jauh lebih buruk sekiranya peperangan berlarutan.

Konflik berkenaan turut menyaksikan serangan ke atas infrastruktur tenaga di rantau Teluk oleh Iran yang sekali gus menjejaskan eksport minyak dan gas melalui Selat Hormuz, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap pasaran tenaga global.

Dalam perkembangan sama, harga minyak mentah Brent dilaporkan melonjak 4.7 peratus melepasi paras AS$118 (RM476) setong berikutan kekangan bekalan.

Ketidaktentuan terhadap laluan maritim strategik itu turut memberi kesan berantai kepada inflasi, aliran perdagangan serta rantaian bekalan global.

Laporan itu turut menegaskan peningkatan kadar kemiskinan dijangka tertumpu di rantau Levant selain negara rapuh seperti Sudan dan Yaman yang sedia berdepan tahap kerentanan tinggi.

Sementara itu, Lebanon antara negara paling terjejas selepas terheret ke dalam konflik susulan tindakan kumpulan Hezbollah melancarkan serangan terhadap Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei oleh gabungan AS-Israel pada 28 Februari lalu.

Serangan udara berterusan serta arahan pemindahan di negara itu telah mengakibatkan kemusnahan meluas melibatkan kawasan perumahan, infrastruktur pengangkutan dan kemudahan awam, di samping perpindahan penduduk secara besar-besaran.

Mengulas lanjut, Abdallah yang juga Pengarah Biro Serantau Negara Arab UNDP menegaskan, setiap kelewatan untuk menamatkan konflik hanya akan memburukkan lagi keadaan ekonomi global.

“Kami berharap pertempuran ini dapat dihentikan segera kerana setiap hari yang berlalu membawa implikasi negatif kepada ekonomi dunia,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button