Lelaki didakwa fitnah tok batin sorok Jaslinda ditahan
TAPAH – Polis hari ini mengesahkan penahanan seorang lelaki berhubung isu fitnah melibatkan Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu berhubung penemuan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Abdul Malik Hasim, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan di kediamannya di Ipoh sekitar pukul 1 tengah hari tadi.
“Polis akan mendapatkan permohonan reman terhadap lelaki itu di mahkamah esok (Jumaat) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.
“Setakat ini, sebanyak 11 laporan polis berkaitan kes itu telah diterima,” katanya.
Terdahulu, semasa bersiaran langsung, lelaki itu mendakwa bahawa Jaslinda telah ‘dijaga’ oleh Tok Batin selama dua minggu sebelum berjaya ditemukan penduduk Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh.
Dakwaan tidak berasas itu mendorong kira-kira 50 tok batin dan wakil masyarakat Orang Asli dari daerah Batang Padang, Muallim dan Kinta tampil membuat laporan polis.
Semalam, lelaki tersebut kembali memuat naik satu video menyatakan beliau memohon maaf atas perbuatannya.
Bagaimanapun, meskipun lelaki berkenaan telah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka, polis akan meneruskan siasatan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















