BERITA SEMASA

Jaslinda dibenarkan keluar hospital

TAPAH – Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang sebelum ini dilaporkan hilang selama 14 hari ketika mendaki Gunung Batu Putih, dibenarkan keluar daripada hospital hari ini setelah tiga hari menerima rawatan.

Jaslinda yang ditemani suaminya, Haszman Othman, 61, dan petugas kesihatan Wad Perempuan Hospital Tapah, dilihat keluar dari wad pukul 1.50 tengah hari tadi sebelum suami isteri itu menaiki kereta Honda City warna gelap, lapor Buletin TV3.

Sebelum beredar, Jaslinda yang berjalan menggunakan tongkat dilihat terharu sambil mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan keselamatannya.

Malah, wanita itu juga turut memohon maaf atas kehilangannya yang disifatkan menyusahkan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Dengan kaki kiri berbalut, Jaslinda turut meminta ruang dan berjanji akan tampil menjelaskan segala tohmahan dan fitnah yang dipalitkan susulan kehilangannya.

“Alhamdulillah saya sihat. Terima kasih banyak kepada semua rakyat Malaysia kerana doakan keselamatan saya, saya sangat menghargainya.

“Statement-statement (kenyataan-kenyataan) itu kemudianlah saya akan beritahu.

“Yang benda benda semua itu, yang didengar itu semuanya fitnah. Nanti saya bagi kenyataan saya.

“Terima kasih semua. Minta maaf menyusahkan SAR semua.

“Saya tiada niat nak susahkan sesiapa. Terima kasih semua,” katanya.

Jaslinda ditemui dalam keadaan lemah Sabtu lalu oleh dua penduduk Kampung Lubuk Gaharu, POS Musoh, di sini, yang ketika itu sedang memancing di Sungai Woh berhampiran perkampungan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button