JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas Setiausaha Politik PM buat laporan polis

CYBERJAYA – Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini membuat laporan polis berhubung tohmahan dan tuduhan fitnah dilemparkan individu dikenali sebagai Albert Tei.

Shamsul Iskandar berkata, tuduhan bahawa terdapat arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat rakaman mengenai beberapa ahli politik Sabah adalah satu tohmahan semata-mata.

“Perbuatan tuduhan fitnah ini jelas satu konspirasi jahat untuk memburukkan imej Perdana Menteri dan usaha terancang untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik, apatah lagi di musim kempen pilihanraya Sabah.

“Saya tidak akan membiarkan mana-mana individu menggunakan nama saya atau jawatan saya sebelum ini untuk cuba menjatuhkan kerajaan atau mencemarkan nama baik Perdana Menteri,” katanya dlam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Shamsul Iskandar turut menzahirkan keyakinan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memulakan siasatan segera.

“(Saya juga) sedia memberi kerjasama bagi siasatan oleh mana-mana badan penguatkuasaan termasuk SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan memanggil individu yang membuat dakwaan tersebut beserta individu lain yang dinamakan dalam dakwaan itu dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.

“SPRM akan memanggil pihak yang membuat tohmahan berkenaan iaitu Albert Tei serta pihak yang ditohmah iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.

“Selain itu, SPRM juga akan memanggil semua pihak-pihak yang terbabit bagi tujuan mengumpul bukti-bukti yang diperlukan,” kata Azam Baki dalam satu kenyataan, hari ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button