BERITA SEMASA

KPKM perketat import produk perikanan dari Thailand

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bakal memperketat import produk perikanan dari Thailand bermula 1 Jun ini melalui sekatan sementara ke atas lima spesies udang dan penguatkuasaan Sijil Analisis (CoA) bagi ikan siakap.

Menurut kenyataan rasmi KPKM hari ini, sekatan sementara tersebut melibatkan lima spesies udang iaitu Penaeus esculentes, Fenneropenaeus merguiensis, Penaeus vannamei, Penaeus monodon, dan Penaeus stylirostris.

“Tempoh sekatan bagi udang adalah sehingga pihak berkuasa Thailand mengemukakan maklum balas rasmi yang lengkap terhadap soal selidik yang dikemukakan oleh Malaysia, serta tertakluk kepada penelitian lanjut pihak Malaysia terhadap maklum balas tersebut,” menurut kenyataan itu.

KPKM memaklumkan langkah itu dilaksanakan bagi memperkukuh kawalan keselamatan makanan negara, khususnya dalam memastikan ikan siakap dan udang yang memasuki pasaran tempatan mematuhi standard keselamatan dan kualiti yang ditetapkan.

Menurut KPKM, pelaksanaan kawalan import itu akan dibuat secara bersepadu menerusi kerjasama Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (PKKM KKM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di semua pintu masuk negara.

“Kerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan akan diteruskan bagi memastikan pelaksanaan kawalan import berjalan lancar tanpa menjejaskan kestabilan bekalan ikan siakap dan udang dalam negara,” menurut kenyataan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button