BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kenyataan Khalid Samad isu Kampung Sungai Baru dipersoal penduduk

KUALA LUMPUR – Kenyataan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, mengenai isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru disifatkan tidak berlandaskan kajian.

Penasihat Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, Muzzafar Razman berkata, Khalid mengeluarkan kenyataan tanpa membuat penelitian terlebih dahulu khususnya berkaitan isu pampasan kepada penduduk.

“(Misalnya) berkaitan bayaran RM1,000 bagi satu kaki per segi. Dia bukan orang pertama yang perjuang ‘harga tinggi’ itu seperti didakwanya, kerana (bekas Perdana Menteri) Tun Dr. Mahathir Mohamad telah berbuat demikian pada 1991.

“Dia tidak buat kajian bila komen berkenaan hal ini. Dia tak tahu apa yang diperkatakan, itu masalahnya,” katanya dalam sidang media hari ini.

Kampung Sungai Baru yang terletak berhampiran jambatan ikonik Saloma Link dan stesen LRT Kampung Baru dengan pemandangan KLCC, telah mengalami kelewatan projek pembangunan semula hampir sedekad berikutan pertikaian mengenai pampasan.

Pada 2020, kerajaan mengemukakan tawaran terakhir sebanyak RM1,000 bagi setiap kaki persegi kepada pemilik tanah, yang mana Khalid ketika itu merupakan Menteri Wilayah Persekutuan.

Pada 7 Ogos tahun lalu, Khalid menggesa kerajaan agar campur tangan dalam pertikaian penduduk bagi memastikan pemilik tanah memperoleh kadar pampasan terbaik daripada pemaju.

Ketika itu, beliau berkata pemaju menawarkan pampasan antara RM1,500 hingga RM1,800 bagi setiap kaki persegi, selain hartanah bernilai RM1.02 juta kepada mereka yang bersetuju dengan pembangunan semula dan RM450 hingga RM600 bagi setiap kaki persegi kepada yang tidak bersetuju.

Pada Mei lalu, Mahathir pula berkata pemilik tanah sepatutnya menerima kadar lebih wajar iaitu RM3,000 bagi setiap kaki persegi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button