Pemilik Kampung Sungai Baru terima pampasan sehingga RM8 juta
PUTRAJAYA – Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) hari ini mendedahkan ada di antara pemilik kediaman di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur menerima pampasan sehingga lebih RM8 juta daripada projek pembangunan semula kampung berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Dr. Khairul Nizam Othman berkata, nilai pampasan itu adalah bagi pemilik kediaman teres yang bersamaan dengan tiga hingga sembilan unit rumah ganti manakala nilai pampasan yang diterima mencecah RM900,000 bagi pemilik unit flat.
Beliau berkata, sehingga kini sebanyak RM62.57 juta nilai pampasan sudah dibayar kepada pemilik dan pihak berkepentingan.

Jelasnya, jumlah pampasan ditentukan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Wilayah Persekutuan mengikut peruntukan Akta Pengambilan Tanah 1960, dengan mengambil kira nilai hartanah, kos pindah, sewaan sementara, kehilangan pendapatan, fi penilaian dan beberapa kos lain.
“Menerusi skim usaha sama, pemilik rumah flat menerima sebuah rumah ganti bernilai antara RM884,000 hingga RM1 juta, manakala pemilik rumah teres memperoleh antara tiga hingga sembilan rumah ganti dengan anggaran nilai keseluruhan antara RM2.7 juta hingga RM8.1 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pembentangan isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, di sini hari ini.
Dr. Khairul Nizam menjelaskan, pemilik rumah flat turut ditawarkan sebuah unit berkeluasan 900 kaki persegi bernilai RM300,000 yang boleh dibeli pada harga separuh daripada pampasan diterima.
“Sebagai contoh, pemilik yang menerima pampasan RM250,000 boleh memiliki unit berkenaan pada harga RM125,000. Tawaran ini dikemukakan sejak 16 Mei 2022 dan sehingga kini 11 pemilik flat telah menerimanya,” ujarnya.
Setakat ini, sebanyak 236 daripada 328 pemilik kediaman (72 peratus) bersetuju dengan pelan pembangunan semula Kampung Sungai Baru, manakala baki 92 pemilik (28 peratus) masih menolak, kebanyakannya kerana isu nilai pampasan.
Khairul Nizam menegaskan, projek berkenaan akan memperkukuh pegangan hartanah orang Melayu dan Bumiputera, selain memberi peluang kepada pemilik terbabit memiliki hartanah bernilai lebih RM1 juta di ibu negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








