BERITA SEMASA

KESUMA: Pelaksanaan AKF selari keperluan pasaran buruh dinamik

PUTRAJAYA – Pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) dilihat selari dengan keperluan pasaran buruh semasa yang semakin dinamik serta memerlukan model kerja lebih adaptif, responsif dan berteraskan produktiviti.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berkata, pelaksanaan AKF merangkumi model kerja hibrid, waktu kerja anjal dan susunan kerja fleksibel yang bukan sahaja memperkukuh kecekapan organisasi, malah meningkatkan kesejahteraan pekerja.

Menurut kementerian itu, pelaksanaan AKF di sektor swasta perlu dilaksanakan secara tersusun, berfasa dan berasaskan garis panduan jelas selaras dengan peruntukan Akta Kerja 1955 (Seksyen 60P dan 60Q) serta peruntukan berkaitan di Sabah dan Sarawak.

“Pelaksanaan ini memberi hak kepada pekerja untuk memohon pengaturan kerja fleksibel, manakala majikan diwajibkan memberikan maklum balas bertulis dalam tempoh ditetapkan,” menurut kenyataan itu hari ini.

KESUMA turut menyambut baik saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar sektor swasta mempertimbangkan pelaksanaan AKF sebagai langkah strategik menghadapi cabaran ekonomi semasa termasuk kesan krisis bekalan global.

Hasil dapatan TalentCorp sejak 2021 menunjukkan lebih 5,340 organisasi telah melaksanakan AKF, memberi manfaat kepada lebih 1.6 juta pekerja di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 62 peratus majikan melaporkan peningkatan produktiviti, manakala 70 peratus pekerja mencatat peningkatan kepuasan kerja hasil fleksibiliti masa dan lokasi.

Selain itu, lebih 90 peratus organisasi turut melaporkan peningkatan penglibatan pekerja serta penurunan kadar keluar masuk pekerja antara 15 hingga 20 peratus.

“Dapatan ini membuktikan AKF bukan sahaja menyokong kesinambungan operasi organisasi, malah meningkatkan produktiviti, keseimbangan kerja-kehidupan serta pengekalan bakat negara,” katanya lagi.

KESUMA menegaskan pelaksanaan AKF tidak boleh dijadikan alasan untuk pengurangan gaji atau faedah pekerja, kecuali jika dipersetujui melalui perubahan struktur waktu kerja secara menyeluruh.

Dalam masa sama, majikan turut digalakkan memperkukuh kesiapsiagaan digital pekerja bagi memastikan pelaksanaan AKF dapat dijalankan secara berkesan mengikut kesesuaian operasi masing-masing.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button