Kes Zara Qairina: PEJUANG desak siasatan menyeluruh, lindungi saksi
KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Wilayah Persekutuan mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dan telus terhadap semua pihak yang didakwa cuai atau menutup fakta dalam kes kematian pelajar Tingkatan 1, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di SMKA Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah bulan lalu.
“Kami mahu keadilan untuk Zara dan keluarganya. Hukuman setimpal mesti dijatuhkan kepada pelaku serta mana-mana pihak yang bersubahat atau cuba menutup kebenaran.
“Kes seperti ini tidak boleh dibiarkan berulang,” tegas Ahli Majlis Pimpinan Negeri PEJUANG Wilayah Persekutuan, Noor Zarina Nordin.
Selain itu, mereka turut menuntut agar perlindungan diberikan kepada semua saksi termasuk pelajar yang terlibat, tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang cuai dan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan asrama diperketat.

Cadangan penambahbaikan termasuk rondaan berkala, pemasangan CCTV di lokasi strategik serta saluran aduan rahsia bagi membolehkan mangsa buli membuat laporan tanpa rasa takut.
Tuntutan itu disuarakan selepas Noor Zarina bersama beberapa pemimpin dan ahli parti membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi semalam.
Turut hadir Ahli Majlis Eksekutif Pusat, Ku Syaza Ku Iskandar; Setiausaha Negeri PEJUANG Wilayah Persekutuan, Rizal Ibrahim serta beberapa ahli PEJUANG Wilayah Persekutuan lain.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada laporan media dan carian lanjut, Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang di kawasan asrama pada 16 Julai 2025, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu keesokan harinya.
BACA : PEJUANG gesa KPM perbaiki pengurusan kes buli, jadikan insiden Zara Qairina pengajaran
Laporan polis menyebut tiada bedah siasat dijalankan walaupun terdapat kesan kecederaan pada tubuh mangsa.
Pihak yang dinamakan dalam laporan polis termasuk pengetua sekolah, warden asrama, pegawai penyiasat (IO) yang menerima laporan awal serta pihak hospital.
Mereka didakwa gagal menjalankan tanggungjawab masing-masing, termasuk memastikan keselamatan pelajar, membuat siasatan lengkap dan melaksanakan pemeriksaan forensik.
BACA : PEJUANG tuntut jaminan keselamatan buat Yasmin, saksi utama kes kematian Zara Qairina
Kronologi kes menunjukkan laporan polis pertama dibuat oleh ibu mangsa pada 4 Ogos setelah menyedari kesan lebam pada tubuh anaknya ketika memandikan jenazah.
Pada 7 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) memulangkan kertas siasatan kepada polis dengan arahan melengkapkan siasatan, termasuk cadangan menggali semula kubur bagi tujuan bedah siasat.
“Kami berharap jenayah buli fizikal dan emosi dapat dihentikan segera dan tidak berulang.
“Semua pihak berkepentingan perlu memberikan kerjasama penuh agar siasatan dapat dijalankan dengan segera, menyeluruh dan telus,” ujar Noor Zarina.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







