BERITA SEMASA

PEJUANG dakwa majlis penghargaan media KPKT hanya langkah ‘damage control’

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mendakwa penganjuran Majlis Makan Malam Penghargaan Media oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hanyalah usaha ‘damage control’ susulan insiden melibatkan Menterinya, Nga Kor Ming dalam satu sidang media baru-baru ini.

Ahli Majlis Pimpinan PEJUANG Wilayah Persekutuan , Noor Zarina Nordin berkata, tindakan Kor Ming yang didakwa meninggikan suara serta menunjukkan reaksi kurang sopan terhadap wartawan telah menimbulkan keresahan dalam kalangan pengamal media dan masyarakat.

Menurut beliau, insiden itu berlaku ketika wartawan menjalankan tugas profesional, malah rakaman menunjukkan nada tinggi dan reaksi tidak berhemah menteri turut tular dan disiarkan secara meluas.

“Pengumuman program penghargaan media yang dijadual berlangsung pada 17 November ini menimbulkan tanggapan bahawa ia bukan bentuk penghormatan tulen kepada wartawan, sebaliknya sebagai langkah meredakan kecaman orang ramai selepas insiden tersebut.

“Media adalah institusi penting dalam demokrasi yang berperanan sebagai semak dan imbang, justeru hubungan antara kementerian dan wartawan perlu dibina atas dasar saling menghormati, keterbukaan dan profesionalisme.

“Penghargaan sebenar bukan hanya melalui jamuan, tetapi melalui adab, kesediaan menjawab soalan secara terbuka serta kemampuan menerima pandangan dengan matang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau turut menyelar Kor Ming yang sehingga kini tidak membuat sebarang permohonan maaf secara terbuka.

Sehubungan itu, katanya, PEJUANG menggesa Kor Ming memberi penjelasan terhadap insiden terbabit dan memohon maaf kepada pihak media selain memperkukuh garis panduan komunikasi serta melaksanakan sesi libat urus berkala bagi memastikan hubungan yang lebih baik dan matang bersama pengamal media.

Sementara itu katanya, PEJUANG turut menegaskan usaha memulihkan hubungan dengan media perlu dilakukan secara telus bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan kekal utuh dan budaya demokrasi terus diperkasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button