Kerajaan MADANI terus perkukuh usaha bantu rakyat, peniaga kecil – Anwar
KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh usaha membantu rakyat dan peniaga kecil dalam menghadapi cabaran kos sara hidup serta keadaan ekonomi semasa yang semakin mencabar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap pandangan dan suara rakyat akan terus diberi perhatian bagi memastikan pembangunan negara bergerak seiring dengan kesejahteraan masyarakat.
Menurut beliau, perkara itu antara yang dibangkitkan ketika beliau singgah makan tengah hari di Restoran Ombong Salai di Sendayan, Negeri Sembilan selepas menunaikan solat Jumaat semalam.
“Saya mengambil kesempatan berbual santai bersama pelanggan dan peniaga mengenai cabaran kos sara hidup, keadaan perniagaan serta isu semasa yang mereka hadapi di lapangan.
“Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh usaha membantu rakyat serta peniaga kecil dalam menghadapi keadaan semakin mencabar ketika ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan komited memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan dalam setiap pelaksanaan dasar dan pembangunan negara.
“Insya-Allah, setiap suara akan terus diberi perhatian demi memastikan pembangunan negara berjalan seiring kesejahteraan dan kebajikan rakyat terbanyak,” katanya lagi.
Semalam, Ahli Parlimen Tambun itu mengadakan lawatan ke Sendayan sempena sambutan Hari Belia Negara selain turut menunaikan solat Jumaat di Masjid Sri Sendayan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














