Kampung angkat MADANI Batu Luking perkukuh infrastruktur asas
KANOWIT – Pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI terus memperlihatkan komitmen kerajaan dalam merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar melalui penambahbaikan infrastruktur asas termasuk bekalan air bersih, elektrik, jaringan jalan raya, capaian digital serta pemerkasaan sosioekonomi komuniti setempat.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, pelaksanaan projek di Kampung Batu Luking, Daerah Kanowit memberi tumpuan khusus kepada pembinaan tangki air bersih bagi memastikan penduduk mendapat akses bekalan air yang mencukupi, stabil dan selamat.

“Projek Kampung Angkat MADANI di Batu Luking ini memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi beberapa komponen pembangunan yang memberi manfaat terus kepada penduduk setempat.
“Ia melibatkan tiga buah rumah panjang utama iaitu Rumah Bibi, Rumah Johnny dan Rumah Morris,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Projek tersebut hari ini.
Menurut beliau, inisiatif ini membuktikan kesungguhan kerajaan MADANI dalam memastikan setiap pelaksanaan projek pembangunan memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat, selain memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan negara.
“Pendekatan ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan, mengurangkan ketidaksamaan serta memastikan pembangunan yang lebih inklusif,” katanya lagi.
Beliau berkata, Program Kampung Angkat MADANI menunjukkan perkembangan ketara dengan 43 kampung terlibat pada fasa awal tahun 2024, meningkat kepada 219 kampung pada tahun 2025, dan disasarkan berkembang sehingga 500 kampung pada tahun 2026.
“Peluasan program turut merangkumi pendekatan lebih inovatif termasuk pelaksanaan tenaga solar luar grid bagi kawasan yang memerlukan penyelesaian tenaga alternatif,” katanya lagi.
Program itu dilaksanakan oleh Kementerian Perpaduan Negara sebagai usaha berterusan memperkukuh kesejahteraan komuniti luar bandar di seluruh negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








