BERITA SEMASA

Kerajaan bentang RUU Tribunal Anti Buli Disember ini – Azalina

KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti Buli bagi bacaan pertama, kedua dan ketiga pada sidang Parlimen Disember ini sebagai langkah memperkukuh perlindungan terhadap mangsa buli di pelbagai peringkat pendidikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Transformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, RUU tersebut akan mewujudkan tribunal khas bagi menangani kes buli dengan lebih cepat, efisien dan mesra mangsa tanpa perlu menunggu proses mahkamah yang panjang.

“Tribunal ini akan berfungsi seperti Akta Gangguan Seksual yang memberi ruang penyelesaian lebih pantas dan rahsia selain membolehkan komunikasi terus kepada tribunal jika mangsa tidak berpuas hati dengan keputusan sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi moderator pada program forum Nation Building and Future Resilience: Youth & Bullying di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Menurut Azalina, ketika ini draf akhir RUU berkenaan telah siap dan kerajaan sedang menjalankan sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak sebelum dibentangkan ke Kabinet.

Katanya, isu sama ada RUU ini akan turut meliputi kes melibatkan individu berumur lebih 18 tahun masih dalam penelitian teknikal dan akan ditentukan oleh Jemaah Menteri.

“Malaysia mempunyai lebih 10,000 sekolah dengan lebih 5.1 juta pelajar. Jika skop diperluas tanpa had umur, ia akan membebankan sistem,” katanya.

Azalina menambah, universiti juga telah mempunyai mekanisme dalaman masing-masing untuk menangani kes buli, namun kerajaan melihat keperluan menambah baik sistem sedia ada agar lebih holistik dan inklusif.

Beliau turut menjelaskan, RUU ini bakal memperincikan definisi perbuatan buli yang sebelum ini tidak dijelaskan secara jelas dalam mana-mana undang-undang sedia ada.

“Buli bukan hanya fizikal, tetapi juga boleh berbentuk verbal, emosi, sosial dan siber. Melalui akta ini, kita akan menetapkan definisi rasmi perbuatan buli di Malaysia,” katanya lagi.

Azalina turut memberi jaminan bahawa undang-undang ini akan terpakai kepada semua termasuk pelajar antarabangsa.

“Jika seseorang melakukan kesalahan, dia tetap dianggap pesalah. Undang-undang tidak membezakan kewarganegaraan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button