RUU Pendanaan Politik: Kerajaan belum terima pandangan rasmi parti politik termasuk UMNO
BANGI – Kerajaan masih belum menerima sebarang pandangan rasmi mana-mana parti politik termasuk UMNO berhubung cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan penggubalan itu masih dalam proses kajian dan memerlukan persetujuan semua parti politik, memandangkan mereka akan menjadi pengguna utama undang-undang itu.
“Setakat ini saya tidak mendengar UMNO memberikan bantahan terhadap cadangan pendanaan politik, namun perkara itu belum dibawa secara rasmi kerana ia memerlukan pandangan formal daripada setiap parti politik,” katanya selepas merasmikan Townhall Kerangka Akauntabiliti MADANI di Akademi Perundangan Negara, di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, beberapa perkara dasar juga masih belum mencapai persetujuan sebulat suara, termasuk keperluan pendanaan awam kepada parti politik, had sumbangan serta entiti yang akan mengawal selia dana politik.
Tambahnya bagi UMNO, isu pendanaan politik sering dibincangkan namun setakat ini belum sampai ke peringkat Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, manakala beberapa parti politik lain turut membangkitkan perkara itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, keputusan akhir berhubung cadangan RUU Pendanaan Politik bergantung kepada persetujuan semua parti politik.
Tahun lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mencadangkan supaya Akta Pendanaan Politik digubal segera dengan memfokuskan kepada pendanaan ketika kempen pilihan raya.
Akta khas itu dilihat mampu mengawal selia aktiviti pendanaan politik bagi menjamin ketelusan, keadilan dan kebersihan dalam persaingan politik serta demokrasi negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








