Kenaikan OPR mengurangkan tekanan kenaikan harga barang – PM
BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan wujudnya kesilapan dalam tanggapan umum mengenai kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang menyebabkan inflasi semakin tinggi.
Katanya, kenaikan OPR dapat membantu menyesuaikan permintaan dalam pasaran kepada tahap yang lebih setara dengan bekalan seterusnya membantu mengurangkan tekanan terhadap kenaikan harga barangan.
Sebaliknya kata Menteri Kewangan, apabila permintaan menjadi terlalu tinggi berbanding keberadaan bekalan, harga akan cenderung untuk meningkat.
Jelas beliau lagi, OPR yang lebih tinggi akan membantu menyesuaikan permintaan kepada tahap yang lebih setara dengan bekalan seterusnya membantu mengurangkan tekanan terhadap kenaikan harga barangan.
“Justeru, impak kewangan dari segi kejatuhan kuasa beli akibat inflasi yang tinggi dan tidak terkawal adalah jauh lebih buruk dan meluas berbanding kesan daripada kenaikan OPR secara terkawal dan beransur-ansur pada 2022.
“Peningkatan OPR pada Mei 2023 selepas dihentikan seketika pada Januari dan Mac 2023 bukan bertujuan untuk merencatkan usaha pemulihan ekonomi negara, sebaliknya, ia bertujuan memastikan ekonomi Malaysia kekal sihat dan berkembang secara mampan, serta inflasi kekal terkawal bagi tempoh masa yang berpanjangan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Riduan Rubin (BEBAS-Tenom) meminta Menteri Kewangan menyatakan mekanisme penampan yang dirangka pihak kementerian bagi menangani kesan negatif kenaikan OPR kepada tiga peratus yang akan meningkatkan kadar inflasi, mengurangkan keupayaan pemilikan modal, kenaikan kadar faedah dan pengurangan akses kepada pinjaman yang sudah pasti akan membebankan rakyat dan merencatkan usaha pemulihan ekonomi negara.
Perdana Menteri berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memantau keadaan yang berubah-ubah terutamanya persekitaran global seperti tekanan harga, pertumbuhan ekonomi global, keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara ketara termasuk tekanan yang berterusan dalam sektor perbankan dan kesannya terhadap prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi di Malaysia.
Beliau turut menjelaskan Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia yang terkini iaitu pada 3 Mei lalu telah membuat keputusan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas daripada 2.75 peratus kepada 3.00 peratus.
Katanya, meskipun kenaikan OPR memberi kesan ke atas ansuran bulanan bagi pinjaman yang berasaskan pinjaman berkadar terapung, perlu ditekankan bahawa langkah kenaikan OPR secara beransur-ansur oleh BNM adalah keputusan yang diambil dengan sangat berhati-hati.
“Sejajar dengan pemulihan kegiatan ekonomi, wujud tekanan harga yang didorong oleh permintaan yang kukuh.
“Penyelarasan dasar makro telah dilaksanakan agar negara tidak mengalami tekanan dari segi pertumbuhan ekonomi yang tidak mampan dan tekanan harga yang melampau terutamanya pada masa hadapan berikutan dasar makro yang tidak bersesuaian.
“Susulan tindakan tersebut, kadar inflasi yang memuncak ke paras 4.7 peratus pada Ogos 2022 telah berkurangan secara beransur-ansur kepada 3.6 peratus pada Mac 2023,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








