BERITA SEMASA

Kemboja, Thailand setuju adakan gencatan senjata

PUTRAJAYA – Thailand dan Kemboja mencapai kata sepakat untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta bermula jam 12 tengah malam ini hasil rundingan khas yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, malam tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persefahaman itu dicapai selepas pertemuan tiga penjuru bersama rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.

rundingan damai
Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN ketika mesyuarat rundingan damai bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet (kiri) dan Pemangku Perdana Menteri Phumtham Wechayachai (kanan) di Putrajaya, hari ini. – IZZUDDIN ABD RADZAK/PEJABAT PERDANA MENTERI

Menurut Anwar, rundingan itu turut disertai secara aktif oleh Amerika Syarikat (AS) dan China yang bersama-sama menyokong usaha damai dan kestabilan serantau.

“Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN ketika ini, komited untuk menjadi penyelaras kepada pasukan pemantau bagi memastikan pelaksanaan gencatan senjata berjalan lancar.

“Malaysia juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan negara-negara anggota ASEAN lain untuk turut serta dalam usaha pemantauan ini,” katanya dalam sidang media khas yang disiarkan secara langsung di laman Facebook milik beliau, hari ini.

Beliau berkata demikian sambil membacakan kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat khas tersebut.

Anwar berkata, kedua-dua negara bersetuju untuk mengambil tiga langkah utama dalam usaha meredakan ketegangan yang berlaku, iaitu:

1. Melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat, berkuat kuasa jam 12.00 malam (waktu tempatan), 28 Julai 2025.

2. Mengadakan mesyuarat tidak rasmi antara komander tentera serantau melibatkan Komander Wilayah Ketenteraan 1 dan 2 dari pihak Thailand serta Wilayah Ketenteraan 4 dan 5 dari pihak Kemboja, pada jam 7.00 pagi esok (29 Julai), diikuti dengan pertemuan bersama atase pertahanan yang dipengerusikan oleh ASEAN sekiranya dipersetujui bersama.

3. Mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) pada 4 Ogos 2025 yang akan dianjurkan oleh Kemboja.

Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin negara jiran turut bersetuju untuk menyambung semula komunikasi secara langsung antara Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri dan Menteri Pertahanan masing-masing bagi memperkukuh persefahaman dan mengelakkan sebarang salah faham.

Sementara itu, pihak Amerika Syarikat yang diwakili oleh Presidennya, Donald J. Trump, telah menghubungi pemimpin Thailand dan Kemboja sebelum rundingan bagi menggesa penyelesaian damai dicapai segera.

Anwar berkata, China pula dilaporkan mengadakan rundingan aktif bersama Malaysia, Kemboja, Thailand dan negara berkepentingan lain dalam mempromosikan dialog dan usaha gencatan senjata.

“Kerjasama erat semua pihak yang terlibat menunjukkan komitmen bersama terhadap keamanan, dialog dan kestabilan rantau ini,” kata

Menurut Anwar lagi, ketiga-tiga negara turut bersetuju supaya Menteri Luar dan Menteri Pertahanan dari Malaysia, Kemboja dan Thailand merangka mekanisme pelaksanaan, pemantauan serta pelaporan pelanggaran gencatan senjata.

“Mekanisme ini akan menjadi asas kepada usaha perdamaian jangka panjang dan akauntabiliti,” jelas Anwar.

Jelas Anwar, rundingan khas itu menzahirkan iltizam bersama antara Malaysia, Kemboja dan Thailand untuk terus menjunjung prinsip undang-undang antarabangsa.

“Hidup bersama secara aman dan kerjasama pelbagai hala demi penyelesaian adil dan berkekalan terhadap krisis yang sedang berlaku,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button