LUAR NEGARA

UK, Perancis dan 23 negara desak perang di Gaza dihentikan serta-merta

LONDON – Lebih 24 negara termasuk United Kingdom, Perancis, Australia dan Kanada semalam mengeluarkan kenyataan bersama menggesa penamatan segera perang di Gaza sambil mengecam model penghantaran bantuan Israel yang disifatkan sebagai menafikan maruah kemanusiaan rakyat Palestin.

Kenyataan tegas tersebut menandakan perubahan ketara dalam nada sekutu Israel di tengah-tengah peningkatan tekanan antarabangsa dan pengasingan diplomatik terhadap negara itu.

“Penderitaan orang awam di Gaza telah mencapai tahap yang paling parah,” menurut kenyataan yang ditandatangani oleh 25 negara serta Kesatuan Eropah, lapor Al Jazeera.

Negara-negara berkenaan menuntut gencatan senjata yang dirundingkan, pembebasan semua tebusan yang ditahan oleh pejuang Palestin serta akses tanpa halangan terhadap bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan.

Mereka turut mengecam tindakan Israel yang hanya membenarkan bantuan masuk secara perlahan dan berperingkat, sambil menyifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan kerana menyebabkan kematian orang awam termasuk kanak-kanak yang sedang mencari makanan dan air.

Sejak Israel melonggarkan sekatan total selama lebih dua bulan ke atas Gaza pada akhir Mei lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan seramai 875 rakyat Palestin terbunuh ketika cuba mendapatkan bekalan makanan.

Palestin kelaparan
Rakyat Palestin berebut-rebut untuk mengambil makanan yang diagihkan di sebuah dapur amal di Nuseirat, tengah Gaza. – Foto Ramadan Abed/Reuters

“Model penghantaran bantuan oleh kerajaan Israel adalah berbahaya, menyemai ketidakstabilan dan menafikan maruah kemanusiaan penduduk Gaza.

“Penafian bantuan kemanusiaan asas kepada penduduk awam adalah tidak dapat diterima. Israel mesti mematuhi kewajipan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” kata negara-negara tersebut.

BACA : Israel tembak rakyat Palestin kelaparan, angka kematian terus meningkat 

Wartawan Al Jazeera, Sonia Gallego yang membuat liputan dari London berkata, kenyataan itu mewakili satu peningkatan tekanan yang ketara daripada sekutu-sekutu Israel.

“Ini bukan sahaja konsensus dalam Eropah, tetapi turut melibatkan negara-negara seperti Australia, New Zealand, Kanada dan Jepun yang menandatangani kenyataan tersebut,” katanya.

Kenyataan bersama itu turut menyuarakan kesediaan negara-negara terbabit untuk menyokong penyelesaian politik demi mencapai keamanan berkekalan di rantau tersebut.

Walaupun rundingan antara Israel dan Hamas berkaitan gencatan senjata masih berlangsung, tiada tanda-tanda kemajuan atau persetujuan muktamad.

Perang di Gaza tercetus selepas serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023 yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 1,129 orang dan mengakibatkan 251 individu dijadikan tebusan.

Difahamkan hanya 50 tebusan masih berada di Gaza dan kurang separuh dipercayai masih hidup.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan ketenteraan Israel telah meragut lebih 59,000 nyawa rakyat Palestin setakat ini, majoritinya wanita dan kanak-kanak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button