Kematian kadet PALAPES UTM tiada unsur penderaan – Menteri Pertahanan
KUALA LUMPUR – Siasatan awal Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung kematian seorang kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Shamsul Haris Shamsudin mendapati tiada sebarang unsur penderaan semasa mangsa menjalani latihan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hasil keterangan saksi termasuk pegawai dan jurulatih yang terlibat mengesahkan semua latihan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Latihan berlangsung dari 27 Julai hingga 2 Ogos. Allahyarham meninggal pada 28 Julai. Semua saksi, termasuk jurulatih, menyatakan tiada perlakuan atau tindakan berbentuk penderaan berlaku sepanjang latihan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) 2025 oleh Kementerian Pertahanan dan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), hari ini.
Menurut beliau, laporan bedah siasat dari Hospital Kota Tinggi turut mengesahkan tiada kesan kecederaan pada jasad Allahyarham, selari dengan dapatan siasatan polis.
BACA : Pasukan khas ditubuh siasatan kematian kadet PALAPES UTM
Jelas Mohamed Khaled, mangsa sebelum itu terlibat dalam latihan inokulasi tempur iaitu merangkak bersama 30 pelatih lain sebelum menunjukkan simptom yang membawa kepada kematiannya.
“Paramedik tentera telah memberikan bantuan awal mengikut SOP. Punca kematian hanya akan diketahui selepas laporan penuh bedah siasat dikeluarkan, yang dijangka mengambil masa sebulan atau dua,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan, insiden itu tidak wajar disamakan dengan kes melibatkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Sabah dan pihaknya sedia bekerjasama sekiranya terdapat bukti baharu berkaitan unsur penderaan atau jenayah.
Dalam majlis sama, Mohamed Khaled turut menyampaikan penghargaan kepada anak-anak anggota tentera yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta berjaya melanjutkan pengajian ke institusi dalam dan luar negara, selari dengan usaha kementerian menjaga kebajikan keluarga anggota.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








