Pelatih PLKN 3.0 syor lanjut tempoh latihan, tambah aktiviti praktikal
KUALA LUMPUR – Cadangan melanjutkan tempoh latihan menjadi antara syor utama yang dikemukakan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 siri kedua sebagai langkah penambahbaikan program berkenaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelatih juga mencadangkan agar lebih banyak aktiviti praktikal dimasukkan serta modul berteraskan asas ketenteraan diperkukuh.
Beliau berkata, syor tersebut dikemukakan melalui soal selidik pasca latihan yang menunjukkan 82.5 peratus pelatih memberikan maklum balas positif selain menyumbang cadangan konstruktif bagi penambahbaikan program.
“Temu bual secara kualitatif bersama alumni siri pertama dan kedua turut mengesahkan PLKN 3.0 berperanan sebagai pemangkin transformasi positif dalam kehidupan pelatih,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman web rasmi Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, impak program itu dapat dilihat melalui peningkatan disiplin, keyakinan diri, semangat perpaduan, kesedaran sivik dan jati diri dalam kalangan peserta.
“Transformasi itu turut meliputi gaya hidup sihat, kecekapan pengurusan masa dan pemahaman lebih mendalam terhadap isu semasa negara,” jelasnya ketika menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH–Sri Gading) berkenaan pencapaian PLKN 3.0 siri kedua.
Program selama 45 hari itu dilaksanakan dari 11 Mei hingga 24 Jun lalu di dua pusat latihan utama iaitu Rejimen 505 Askar Wataniah (AW), Pekan, Pahang bagi 257 pelatih lelaki dan Rejimen 515 AW, Kuala Lumpur untuk 187 pelatih perempuan.
Mohamed Khaled berkata, PLKN 3.0 siri kedua mencatatkan kadar penyertaan memberangsangkan apabila 444 daripada 550 pelatih berjaya menamatkan latihan bersamaan 80.73 peratus daripada jumlah keseluruhan sasaran.
Bagaimanapun, seramai 43 pelatih menarik diri atas sebab kesihatan dan tawaran melanjutkan pengajian manakala 63 lagi memohon penangguhan atas pelbagai faktor.
“Kesimpulannya, Kementerian Pertahanan percaya PLKN 3.0 bukan sekadar program latihan fizikal semata-mata tetapi satu intervensi strategik untuk membentuk generasi muda yang lebih berdisiplin, berdaya tahan dan patriotik,” ujarnya.
Tambah beliau, program itu juga menjadi platform berkesan dalam merapatkan hubungan antara kaum dan negeri selaras dengan aspirasi pembangunan modal insan yang menyeluruh bagi kemajuan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








