Kebakaran 27 rumah di Kampung Cina tiada unsur jenayah, khianat
KOTA BHARU – Polis mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah atau perbuatan khianat dalam siasatan awal berhubung kebakaran yang memusnahkan 27 buah rumah di Kampung Cina, tengah hari semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian kebakaran tersebut.
Katanya, kejadian berkenaan tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.
“Siasatan mendapati kebakaran berkenaan membabitkan kawasan seluas enam ekar dengan tahap kemusnahan yang berbeza-beza.
“Anggaran kerugian masih belum dapat dipastikan dan sedang dalam proses penilaian oleh pihak berkaitan.
“Menurut saksi kejadian, asap dan api mula dikesan sekitar jam 12 tengah hari sebelum merebak dengan pantas disebabkan kedudukan rumah yang berhampiran antara satu sama lain.
“Api dapat dikawal sepenuhnya oleh JBPM pada jam 5.30 petang dengan kekuatan 38 pegawai dan anggota serta dibantu empat jentera bomba, dua jentera tangki air, lima motosikal bomba dan sebuah van unit perkhidmatan penyelamatan perubatan kecemasan (EMRS),” katanya menerusi kenyataan di sini, malam ini.
Katanya, pihak PDRM Kelantan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam menjayakan operasi menyelamat dan pemadaman kebakaran tersebut.
“Pada masa sama kita menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan kebakaran di kediaman masing-masing.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menyalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








