KDNK disasar tumbuh sehingga 5.5 peratus setahun sepanjang RMK13
KUALA LUMPUR – Ekonomi negara dijangka terus berkembang pada kadar stabil dengan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.5 hingga 5.5 peratus setahun sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertumbuhan tersebut akan didorong oleh permintaan domestik yang kukuh, khususnya penggunaan dan pelaburan sektor swasta.
“Eksport kasar negara dijangka meningkat sekitar 5.8 peratus setahun. Sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan kekal sebagai sumber utama pertumbuhan yang disumbang.
“Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan dijangka berkurangan secara berperingkat di bawah 3 peratus kepada KDNK dan paras hutang kerajaan tidak melebihi 60 peratus kepada KDNK.
“Pendapatan negara kasar per kapita disasarkan meningkat kepada RM77,200 dan dijangka melepasi nilai ambang negara berpendapatan tinggi,” katanya dalam pembentangan RMK13 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa pasaran buruh negara dijangka terus menunjukkan peningkatan dengan bahagian pampasan pekerja kepada KDNK disasarkan meningkat kepada 40 peratus.
Selain itu, kadar pengangguran diunjur berkurangan sehingga mencapai tahap guna tenaga penuh menjelang tahun 2030.
Purata kadar inflasi pula dijangka kekal stabil dalam lingkungan antara 2 hingga 3 peratus setahun.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








