BERITA SEMASAKERAJAAN PERPADUAN

Kawasan Rukun Tetangga perkenal logo, slogan baharu

SEGAMAT – Kementerian Perpaduan Negara memperkenalkan pembaharuan melibatkan logo dan slogan baharu Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai usaha memperhebat peranan komuniti di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, langkah itu dibuat selari dengan perkembangan semasa, selepas lebih lima dekad KRT berperanan sebagai pemacu perpaduan rakyat berbilang kaum.

Menurut beliau, slogan baharu iaitu “Memperkasa Komuniti, Mengukuh Perpaduan” dipilih bagi memberi suntikan semangat dan identiti baharu kepada lebih 8,529 KRT yang aktif di seluruh negara ketika ini.

“Dulu mungkin ramai yang tak kenal apa itu KRT, tapi sekarang KRT jadi jentera utama kementerian dalam mengukuhkan perpaduan masyarakat.

“Setiap kali kita anjur program perpaduan, kehadiran dan penyertaan daripada KRT memang sangat menggalakkan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Negeri Johor di Segamat, semalam.

Beliau berkata, pembaharuan tersebut juga melambangkan komitmen kerajaan dalam menjadikan KRT lebih relevan dan inklusif, terutama dalam menarik penglibatan generasi muda.

“Setakat ini, 20 peratus daripada pengerusi KRT seluruh negara terdiri daripada golongan belia. Ini satu perkembangan yang positif kerana kita mahu komuniti terus dipimpin oleh tenaga muda yang dinamik,” katanya lagi.

Aaron berkata, kementeriannya akan terus memperkasakan KRT sebagai platform penting dalam memperkukuh keharmonian rakyat dan menyemai semangat kejiranan di peringkat akar umbi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button