BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAAN

Townhall Keselamatan dan Perpaduan Negara 2025 perkukuh kerjasama komuniti, agensi keselamatan

KUALA LUMPUR – Program Townhall Keselamatan & Perpaduan Negara 2025 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur semalam menjadi platform memperkukuh kerjasama antara komuniti dan agensi keselamatan.

Ia juga selaras dalam usaha meningkatkan kesedaran awam terhadap isu perpaduan serta keselamatan negara.

Bertemakan ‘Menjulang Perpaduan, Memperkasakan Keselamatan’, program yang berlangsung di Auditorium Anjung Bestari, Menara Perpustakaan Negara Malaysia itu dirasmikan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.

Townhall
Fadil berucap ketika merasmikan Townhall Keselamatan dan Perpaduan Negara 2025.

Program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Wilayah Persekutuan itu bertujuan memberi ruang kepada masyarakat menyuarakan pandangan selain terlibat secara langsung dalam membina komuniti yang cakna dan bertanggungjawab.

“Penganjuran program ini diharap dapat merancakkan agenda Malaysia MADANI dalam membina komuniti selamat serta memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian,” kata Jabatan Perpaduan Negara Kuala Lumpur dalam kenyataan di Facebook.

Antara pengisian utama program termasuk sesi ceramah, dialog strategik serta program interaktif.

Ceramah pertama bertajuk Strategi Menangani Ancaman Siber Dalam Komuniti: Kempen Internet Selamat disampaikan oleh wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Muhammad Haritth Fauzan Mohd Faudzi.

Ceramah kedua pula membincangkan Trend Ancaman Keganasan Semasa oleh ACP Ridzuan Abdul Aziz dari Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman.

Dialog Strategik bertemakan Menjulang Perpaduan, Memperkasakan Keselamatan pula dikendalikan oleh moderator, Prof. Dr. Sarjit Singh Darshan Singh bersama tiga ahli panel iaitu Pengarah AADK WP, Md Razif Wan; Felo Penyelidik Kanan KITA-UKM, Prof. Madya Ts Dr Mohd Sobri Ishak dan dan Timbalan Pengerusi MCPF WP, Kuek Po Guan.

Sesi Interaktif Kenegaraan Malaysia MADANI pula dibawakan oleh Mohd Nuwairi Abd Karim dari Akademi Kenegaraan Malaysia.

Program yang berlangsung dari pukul 8 pagi hingga 2 petang itu dihadiri oleh pelbagai pihak.

Antaranta termasuklah Kawasan Rukun Tetangga (KRT), persatuan penduduk, mediator komuniti (MK), rumah ibadat bukan Islam (RIBI), Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) serta agensi kerajaan sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button