BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Kapal berdaftar Liberia ditahan ceroboh perairan Selangor

PELABUHAN KLANG – Sebuah kapal kontena berdaftar di Liberia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor selepas dikesan berlabuh tanpa kebenaran di perairan negara.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kapal tersebut dikesan Area Control Centre (ACC) SWASLA Klang pada pukul 9.20 pagi kerana berada dalam kedudukan mencurigakan.

“Pemeriksaan awal mendapati kapal itu tidak mempunyai sebarang kebenaran bersauh daripada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semakan lanjut dengan Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) mengesahkan kapal itu tidak membuat permohonan untuk bersauh.

“Kapal dikendalikan oleh kepten warga Rusia berusia 44 tahun bersama 23 kru dari pelbagai negara, berumur antara 32 hingga 50 tahun. Semua kru memiliki dokumen pengenalan diri yang lengkap.

“Bagaimanapun, kapten kapal gagal mengemukakan dokumen rasmi kebenaran bersauh. Ia merupakan satu kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952).

“Perintah penahanan telah dikeluarkan dan kepten kapal bersama seorang pegawai (2nd Engineer) dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut,” jelas Abdul Muhaimin.

Jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Maritim Malaysia menegaskan pihaknya terus memperketat pemantauan serta penguatkuasaan undang-undang di perairan negara, khususnya di kawasan perairan negeri Selangor.

Sebarang maklumat, aduan atau kecemasan di laut boleh disalurkan ke talian 999, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di 013-6606652 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia di 03-89957820.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button